Kerajaan perlu masa enam bulan tangani ketirisan subsidi diesel

Salahuddin - Foto Bernama
Salahuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan memerlukan masa sekurang-kurangnya enam bulan bagi menangani masalah ketirisan pelaksanaan subsidi diesel di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tempoh tersebut dilihat munasabah, bagi mengenal pasti punca dan menggerakkan aset yang perlu, untuk mengekang aktiviti penyeludupan diesel yang menjadi antara punca ketirisan.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal, bagi memantau permasalahan itu pada mesyuarat pagi tadi, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof.

"Saya rasa kita cuba lihat enam bulan dahulu untuk pantau perkembangan. Kita jalin kerjasama dengan pelbagai kementerian, kerana 2,100 tenaga penguatkuasa yang KPDN ada tak cukup untuk pantau semua.

"Tempoh ini saya rasa agak munasabah sebab dahulu pengalaman saya ketika dalam kabinet...melalui Ops Naga kita ambil masa enam bulan juga untuk pastikan perairan kita tidak diceroboh,” katanya selepas program Advokasi Kepenggunaan dan Penyampaian Sumbangan Kembali ke Sekolah, di sini pada Rabu.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah membangkitkan isu kewujudan ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel, yang dianggarkan bernilai hampir RM10 bilion pada 2022.

Pada majlis tersebut, seramai 1,000 pelajar sekolah rendah dari seluruh Terengganu menerima sumbangan pakaian dan peralatan sekolah yang akan diagihkan secara berperingkat. - Bernama