Banjir: Sembilan lagi PPS dibuka di Johor

Keadaan banjir di bandar Kluang. - Foto APM Kluang
Keadaan banjir di bandar Kluang. - Foto APM Kluang
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sebanyak sembilan lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka susulan pertambahan jumlah mangsa banjir di Johor setakat jam 2 petang, Rabu.

Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), pembukaan PPS berkenaan menjadikan 25 PPS beroperasi setakat ini.

Data-data mengenai kesemua mangsa sedang dikemas kini.

“Ketika ini, daerah Segamat masih lagi mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 2,701 mangsa daripada 639 keluarga diikuti Kluang (1,952 mangsa daripada 518 keluarga), Kota Tinggi (1,315 mangsa daripada 307 keluarga), Johor Bahru (1,004 mangsa daripada 296 keluarga), Kulai (320 mangsa daripada 80 keluarga), Pontian (19 mangsa daripada empat keluarga) dan Mersing (13 mangsa daripada tiga keluarga).

Tanah runtuh di daerah Segamat. - Foto JKR Segamat
Tanah runtuh di daerah Segamat. - Foto JKR Segamat

“Dalam masa sama, dua PPS telah ditutup melibatkan Balai Raya Taman Melati di Kluang yang ditutup pada 11 pagi tadi sementara Dewan Kampung Melayu Batu 10, Skudai ditutup kira-kira jam 4 pagi. Mangsa-mangsa banjir di dewan berkenaan telah dipindahkan ke Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP),” menurut laporan berkenaan.

Sementara itu, menurut laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), beberapa jalan ditutup untuk semua kenderaan berikutan banjir ketika ini seperti Jalan Kluang-Mersing/Ladang Greenway (FT050), Jalan GSA Chamek (J99), Jalan Senai-Gemas (FT001), Kampung Tenang (J151), Jalan Jemaluang-Batu Pahat (FT050) dan Jalan Johor Bahru-Seremban (FT1).

Ada juga jalan yang dibuka hanya untuk laluan kenderaan berat seperti Jalan Pintas Seelong-Ulu Tebrau (J02), Jalan Ulu Tebrau – Sungai Tiram (J08), Jalan Batu Pahat- Mersing (FT050), Simpang Jalan Mohd Salim, Jalan Johor Bahru-Mersing (KimLong/Sungai Mupur), Jalan Johor Bahru-Mersing, Kubu (FT003), Jalan Kota Tinggi-Kluang (FT091), Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas/Sungai Semalok (FT099) sementara Jalan Masai Lama Seksyen 21 (J10) ditutup berikutan tanah runtuh.