Nasib 'rider' koma selepas kemalangan dibela

Norfarahin (dua dari kiri) menerima sumbangan Perkeso disampaikan Sivakumar (tiga dari kiri) ketika menziarahi mangsa di Hospital Sungai Buloh pada Selasa.
Norfarahin (dua dari kiri) menerima sumbangan Perkeso disampaikan Sivakumar (tiga dari kiri) ketika menziarahi mangsa di Hospital Sungai Buloh pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kebajikan seorang penghantar makanan yang masih koma selepas terbabit kemalangan sejak enam bulan lalu mendapat pembelaan sewajarnya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mangsa, Muhammad Hafizi Idris, 34, mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) membolehkannya layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) bermula 30 Ogos lalu hingga 17 Februari 2023.

Isteri mangsa, Norfarahin Jamsari, 25, berkata, suaminya dilanggar sebuah kereta pada 29 Ogos lalu di Jalan Haji Dorani, Sungai Besar, Tanjong Karang sewaktu menghantar pesanan makanan kepada pelanggan.

Norfarahin
Norfarahin

Menurut Norfarahin, kesan kemalangan tersebut, suaminya mengalami pendarahan dalam kepala selain patah pergelangan tangan kiri dan paha kiri.

Ujanrnya, sejak itu dia berulang-alik dari Tanjong Karang untuk menjaga suaminya yang kini menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

"Tugas agak berat selepas suami kemalangan kerana hilang satu punca pendapatan selain saya juga ambil keputusan untuk bercuti sementara sebagai jurujual sejak Januari lalu untuk menjaga suami.

"Melalui bantuan Perkeso, ia amat membantu dari segi urusan komitmen dan perbelanjaan hospital.

"Saya tahu dia mencarum sebab dia bekerja tak menentu adakala balik hingga 12 malam," katanya sewaktu menerima lawatan daripada Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar di Hospital Sungai Buloh pada Selasa.

Justeru Norfarahin menasihati pekerja sendiri khususnya p-penghantar untuk mencarum dan memastikan caruman tersebut aktif demi perlindungan diri.

"Kita tak tahu apa akan jadi pada masa mendatang. Jika berlaku kemalangan, keluarga yang akan tanggung kesannya. Jadi mencarumlah.

"Buat masa sekarang keadaan suami tidak menentu adakala stabil dan tidak, harapan untuk suami sembuh ada, cuma mengambil masa.

"Besar harapan saya untuk suami kembali sedar suatu hari nanti dan pulang ke rumah bersama saya," katanya.

Setakat ini, jumlah bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara yang telah dibayar berjumlah lebih RM7,000.

Perkeso juga akan menanggung kos rawatan perubatan dan juga peralatan pemulihan seperti lampin pakai buang dan tilam khas.

Sementara itu, Sivakumar menyeru semua individu yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri mengambil iktibar dan mencontohi Muhammad Hafizi yang melindungi dirinya dan keluarga dengan mencarum SKSPS.

"Saya dimaklumkan bahawa dalam tahun 2022, seramai 1,509 gig 'rider' di bawah perlindungan SKSPS terlibat dalam kemalangan dan 32 daripadanya maut.

Sivakumar (kanan) melawat Muhammad Hafizi di Hospital Sungai Buloh pada Selasa.
Sivakumar (kanan) melawat Muhammad Hafizi di Hospital Sungai Buloh pada Selasa.

"Perkeso menganggarkan sebanyak 125 kes tuntutan pekerja gig ditolak yang antaranya disebabkan tidak memperbaharui caruman atau langsung tidak mencarum di bawah SKSPS," katanya.

Beliau berkata, masih terdapat ramai orang bekerja sendiri gagal membuat caruman serta memperbaharui caruman tahunan SKSPS.

"Mengikut Malaysia Digital Economy Corporation, jumlah pekerja gig di seluruh negara dianggarkan seramai 1.12 juta orang.

"Setakat 31 Disember 2022, hanya 374,906 atau 33.5 peratus pekerja gig yang telah mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS, Perkeso," katanya.