Solari jangka tentangan sengit KL City FC

Solari memberikan arahan kepada pemain pada sesi latihan pasukan.
Solari memberikan arahan kepada pemain pada sesi latihan pasukan.
A
A
A

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menjangkakan skuad kendaliannya itu bakal berdepan tentangan sengit pada aksi Liga Super berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Menurutnya, berdasarkan rakaman video, skuad The City Boys itu dilihat agak sukar untuk ditewaskan terutamanya ketika beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Dijangkakan, ia satu perlawanan yang sukar dan saya telah melihatnya (perlawanan) menerusi rakaman video.

“Saya akui, bukan mudah untuk menang kerana ia pastinya akan menjadi satu perlawanan yang sukar.

“Apa pun, persiapan sudah dilakukan dan pemain (JDT) juga dilihat bersemangat untuk membawa pulang tiga mata berharga bagi perlawanan kali ini,” katanya.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan itu masih segar dengan kejayaan mengekalkan trofi Sultan Haji Ahmad Shah setelah menewaskan Terengganu FC (TFC), 2-0 pada saingan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Jumaat lalu sementara

KL City FC pula sekadar terikat 2-2 ketika berdepan Pulau Pinang FC pada aksi sulung Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Sementara itu, Solari menegaskan masih banyak aspek yang perlu diperbaiki skuad kendaliannya itu menjelang aksi berdepan KL City FC.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Argentina itu percaya kesebelasan pemain akan memberikan aksi terbaik dalam usaha memastikan kejayaan pasukan.

“Saya tahu pasukan ini akan mengharungi perlawanan yang sukar di tempat lawan kali ini...tetapi saya juga percaya pemain ketika ini cukup bersemangat.

“Mereka juga dilihat ‘lapar’ dan ‘dahaga’ untuk meneruskan rentak kemenangan pasukan dan ini sudah pastinya sesuatu yang positif,” katanya.