Pensyarah didakwa kemuka invois palsu program SKK1M

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pensyarah di Kolej Komuniti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan bersubahat mengemukakan dokumen palsu berkaitan program Skim Kemahiran dan Kerjaya 1Malaysia-Industri (SKK1M) membabitkan jumlah RM165,834 enam tahun lalu.

Mohd Faisal Ishak, 57, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, tertuduh ketika kejadian merupakan Pengarah di Bahagian Hubungan Industri, Pengesahan Graduan & Alumni di kolej itu didakwa bersubahat dengan Ahmad Fauzi Abdul Samad memberikan suatu dokumen iaitu invois kepada empat syarikat bertarikh 25 Nov 2013 berjumlah RM165, 834 yang ia adalah palsu berkaitan dengan empat program SKK1M yang sebenarnya tidak dijalankan oleh syarikat tersebut.

Empat syarikat itu ialah Moca Resources Sdn Bhd (Program Painting & Blasting), Alfah Synergy Sdn Bhd (Structured Internship Programme Scaffoding) Occupational Safety & Health Sdn Bhd (Site Safety Supervisor Structured Internship Programme) dan Iskandar Vocatinal & Tech Academy Sdn Bhd (Program Koloborasi Strategi Kolej Komuniti Bersama Industri - Juruteknik Telekomunikasi).

Kesemua dokumen invois palsu berkaitan program itu diberikan kepada seorang ejen iaitu Faizal Yusoff yang merupakan Penolong di Bahagian Hubungan Industri, Pengesahan Graduan dan Alumni juga dari kolej yang sama di Ibu Pejabat Jabatan Pengajian Kolej Komuniti di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Pengajian Kolej Komuniti, Tingkat 7, Galeria PJH Jalan P4W Putrajaya pada 25 Nov 2013.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Hukuman itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Ashraf Mohamed mencadangkan jumlah ikat jamin RM80,000 bagi keempat-empat pertuduhan termasuk pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Abdul Hakeem Aiman memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai komitmen tinggi selain mempunyai masalah kesihatan penyakit gout dan darah

"Tertuduh masih menjadi pensyarah di Kolej Komuniti dan mengajar bahasa Inggeris dan sepanjang siasatan tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa," katanya.

Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 24 Mei untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, Ahmad Fauzi, 47, turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memberikan invois yang mempunyai butiran palsu kepada ejen sama (Faizal) berkaitan perkara serupa membabitkan jumlah yang sama.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahmad Fauzi didakwa telah memberikan invois empat buah syarikat itu kepada Faizal yang mana program itu tidak dijalankan oleh keempat-empat syarikat tersebut.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan tarikh sama dan mengikut pertuduhan serupa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes. - Bernama