Pengasas 'Asmaul Husna' bersama 17 pengikut ditahan

Ahmad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan dokumen yang dirampas pihaknya di Pejabat Penguat Kuasa JHEAINS di Seremban pada Isnin.
Ahmad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan dokumen yang dirampas pihaknya di Pejabat Penguat Kuasa JHEAINS di Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Meskipun sudah isytihar taubat, namun pengasas ajaran sesat kumpulan zikir 'Asmaul Husna' didapati masih meneruskan ajaran terbabit di kediamannya di Johol, Kuala Pilah.

Kegiatan bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) itu terbongkar dalam serbuan dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada Isnin selepas risikan pihaknya sejak tiga tahun lalu.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, dalam serbuan jam 9.30 pagi itu, wanita berusia 60 tahun yang dipanggil 'ummi' ditahan bersama 17 pengikutnya ketika sedang menyampaikan 'kuliah' ajarannya.

"Ajaran disampaikan wanita itu telah pun difatwakan haram oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan sebagai ajaran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Malah wanita itu juga telah pun dipanggil Jakim sebelum ini dan telah pun membuat pengisytiharan taubat, namun hasil risikan dan pemeriksaan lanjut mendapati ia masih meneruskan ajaran itu kepada pengikutnya," katanya ketika ditemui di Pejabat Penguat Kuasa JHEAINS di sini pada Isnin.

Menurutnya, kesemua yang ditahan merupakan wanita berusia antara 20 hingga 60 tahun yang kebanyakannya merupakan suri rumah dan tinggal di luar Negeri Sembilan.

Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati, majlis ilmu disampaikan oleh wanita terbabit kebanyakannya diadakan pada waktu siang.

"Berdasarkan risikan, pengikut kanan ajaran ini merekrut pengikutnya melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram dengan cara menjemput golongan wanita menghadiri sesi kuliah yang diadakan.

"Sebenarnya ajaran ini mempunyai pengikut yang ramai di seluruh negara dan dipercayai cuba mengembangkannya ke Indonesia susulan penemuan dokuman memorandum persefahaman dengan beberapa sekolah pondok di sana," katanya.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, kes disiasat bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu berkaitan dengan ajaran meragukan dan Seksyen 53 enakmen yang sama berkaitan dengan kesalahan Mengajar Agama Tanpa Tauliah.

Beliau juga mengesahkan penahanan seramai 17 individu terbabit untuk siasatan lanjut.

"Saya berharap umat Islam khususnya di Negeri Sembilan supaya berhati-hati untuk mengikuti ilmu yang disampaikan oleh mana-mana penceramah atau guru dan pastikan mereka mempunyai tauliah supaya tidak menyeleweng daripada ajaran agama Islam," katanya.

Pada tahun 2021, Sinar Harian melaporkan pengasas ajaran terbabit yang dikatakan menyeleweng daripada amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah tampil mengaku kesalahan dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas ajaran mengelirukan yang dibawa sebelum ini.

Dr Wan Maseri Wan Mohd secara terbuka melafazkan syahadah bagi memperbaharui keislamannya.