'Belanjawan 2023 ibarat selimut senteng' - Hamzah

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto Bernama
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lalu seperti sehelai selimut yang senteng.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, peruntukan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan tidak menyeluruh selain tidak menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat.

“Apabila saya mendengar ucapan Tambun (Anwar), saya agak simpati kerana dalam keadaan ekonomi negara yang agak runsing pada hari ini, begitu juga dengan ekonomi dunia, saya merasakan mungkin ini yang menyebabkan ucapan YB (Yang Berhormat) pada hari itu adalah sesuatu yang saya anggap seperti bajet selimut yang senteng.

“Maksudnya kalau kita tutup muka, betis terselak, kalau tutup kaki, muka terdedah. Ertinya banyak perkara dalam belanjawan tersebut yang kurang dari segi pendekatan dalam menentukan masa depan kita kerana sepatutnya belanjawan ini boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion bagi Belanjawan 2023 dengan RM289.1 bilion adalah belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, belanjawan negara sepatutnya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat terutama anak muda selain perlu meringankan beban rakyat dalam kos sara hidup.

“Segala apa yang kita dengar, seharusnya belanjawan harus diberi atau diagihkan secara saksama kepada semua.

“Bukankah matlamat utama sesetengah perancangan itu untuk memberi nilai tambah dan limpahan yang berganda bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi dan daya saing negara,” ujarnya.