Beruang matahari sesat dilepas ke habitat asal

Beruang matahari yang masuk perangkap di Kampar pada Jumaat telah dilepaskan ke habitat asal di Taman Negeri Royal Belum. - Foto ihsan Perhilitan
Beruang matahari yang masuk perangkap di Kampar pada Jumaat telah dilepaskan ke habitat asal di Taman Negeri Royal Belum. - Foto ihsan Perhilitan
A
A
A

KAMPAR - Seekor beruang matahari yang dilihat penduduk di Malim Nawar, minggu lalu berjaya ditangkap dan dilepaskan ke habitat yang sesuai.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, beruang jantan dianggarkan berusia 7 hingga 8 tahun itu ditangkap setelah masuk perangkap di Kampung Sri Jelutong di sini pada pagi Jumaat.

"Perhilitan Daerah Kinta dengan kerjasama Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) telah selamat menjalankan operasi translokasi haiwan berkenaan.

"Pemeriksaan pada beruang yang dianggarkan seberat 87 kilogram itu menunjukkan ia berada dalam keadaan stabil dan sihat untuk dilepaskan," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Menurutnya, beruang terbabit dilepaskan ke Taman Negeri Royal Belum.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan penduduk gempar ternampak kelibat seekor beruang matahari dipercayai mencari makanan.

Haiwan liar itu pada awalnya disangka anjing dilihat sedang berkeliaran di tepi jalan sekitar jam 12.30 tengah malam.

Perhilitan mengesahkan menerima dua laporan berhubung penemuan beruang terbabit selepas dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran.