Penduduk lihat kelibat beruang matahari di tepi jalan

Gambar yang diambil penduduk kelihatan seperti seekor beruang matahari berada di tepi jalan di Malim Nawar, Kampar pada Jumaat. Foto: Ihsan pembaca
Gambar yang diambil penduduk kelihatan seperti seekor beruang matahari berada di tepi jalan di Malim Nawar, Kampar pada Jumaat. Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

KAMPAR - Penduduk gempar ternampak kelibat seekor beruang matahari dipercayai mencari makanan berhampiran Kampung Jelutong, Malim Nawar di sini pada Jumaat.

Penduduk, Mohamad Hanafi Musa, 27, berkata, haiwan liar itu pada awalnya disangka anjing dilihat sedang berkeliaran di tepi jalan sekitar jam 12.30 tengah malam.

"Saya sedang menunggang motosikal ke warung berhampiran ternampak haiwan berwarna hitam di tepi jalan. Saya ingatkan anjing liar.

"Oleh kerana saiznya yang besar, jadi saya berhenti dan jelas kelihatan ia seperti seekor beruang kerana haiwan itu berada di bawah tiang lampu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, haiwan itu bagaimanapun hilang ke hutan berhampiran.

"Saya panggil rakan-rakan lain namun, jejak beruang itu tidak dapat dikesan. Ini kejadian pertama haiwan itu dilihat berada di kampung ini.

"Perkara ini dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan selepas ini saya akan berhati-hati untuk keluar bekerja di kawasan kampung," ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan beruang terbabit.

"Ini laporan kedua yang diterima dalam tempoh dua minggu dan kakitangan telah diatur gerakkan ke lokasi aduan bagi mengesan haiwan terbabit.

"Beruang matahari itu dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran.," katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan itu.

"Sekiranya ternampak haiwan itu cuba jauhkan diri dan jaga jarak, jangan cuba tangkap serta tidak membuat provokasi," jelasnya.