Gempa Turkiye: Wartawan tak tidur 72 jam cari 4 anak saudara

Rumah abang Amjad musnah sehingga menyebabkan kakak ipar dan empat anak saudaranya terkorban dalam kejadian gempa bumi kuat yang menggegarkan Turkiye pada 6 Februari lalu.
Rumah abang Amjad musnah sehingga menyebabkan kakak ipar dan empat anak saudaranya terkorban dalam kejadian gempa bumi kuat yang menggegarkan Turkiye pada 6 Februari lalu.
A
A
A

REYHANLI - Seorang wartawan portal berita dalam talian, Bizim Vatanimiz Gazetezi, tidak tidur selama 72 jam semata-mata ingin mencari empat anak saudaranya selepas kejadian gempa bumi yang menggegarkan negara ini pada 6 Februari lalu.

Amjad Al-Ahmad, 27, berkata, sewaktu berlakunya gegaran berukuran 7.8 skala Richter itu, beliau bersama isteri yang mengandung tiga bulan berjaya menyelamatkan diri sebelum bangunan kediamannya di Antakya musnah.

Selepas menempatkan isteri di masjid berhampiran untuk tumpang berlindung, beliau yang hanya berbaju T dan berseluar pendek terus bergegas ke rumah abangnya, lebih kurang 300 meter dari rumahnya.

Dalam keadaan suhu mencecah -10 darjah Celsius berserta hujan lebat, Amjad terkejut melihat rumah abangnya, bangunan setinggi tiga tingkat telah musnah.

"Saya cuba mencari dan memanggil nama empat anak saudara serta ibu mereka di kawasan sekitar tetapi tiada sahutan. Hati saya ketika itu mula risau," katanya kepada Sinar Harian.

Gempa bumi yang berpusat di Kahramanmaras itu telah menjejaskan 10 wilayah iaitu Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

Keluarga Amjad kini menetap di dalam khemah di Reyhanli, Turkiye.
Keluarga Amjad kini menetap di dalam khemah di Reyhanli, Turkiye.

Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye kini meningkat kepada 43,556 nyawa dan jumlah itu akan bertambah memandangkan usaha mencari mangsa di dalam runtuhan masih diteruskan.

Zon gempa dianggarkan mempunyai populasi 13.5 juta orang dan ramai daripada mereka hilang tempat tinggal.

Gegaran itu menyebabkan 26,000 kediaman runtuh pada satu jam pertama dan malapetaka itu melanda kawasan seluas 110,000 kilometer persegi (42,471 batu persegi).

Amjad berkata, dalam tempoh dua hari, beliau cuba menggunakan pelbagai kaedah untuk menggali runtuhan itu namun berdepan kesulitan kerana tidak mempunyai kudrat untuk mengangkat runtuhan yang berat.

Pengurus Besar Syria Care, Muaz Abd Muein (kiri) menyampaikan bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care kepada keluarga Amjad Al-Ahmad, pelarian Syria yang menetap di Turkiye.
Pengurus Besar Syria Care, Muaz Abd Muein (kiri) menyampaikan bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care kepada keluarga Amjad Al-Ahmad, pelarian Syria yang menetap di Turkiye.

Sehinggalah pada hari ketiga, sebuah jentolak melalui kawasan itu dan Amjad terus merayu kepada pemandunya agar membantu beliau mengorek runtuhan berkenaan.

Luluh hati Amjad sebaik kali pertama jentolak itu mengorek, beliau terlihat mayat seorang anak saudaranya, Muhammad Al-Ahmad, 8, di atas sofa dalam keadaan muka yang hancur ekoran dihempap siling rumah.

"Melihat keadaan Muhammad itu, walaupun terasa berat hati, saya dapat merasakan tiga lagi adik beradiknya serta ibu mereka turut terkorban," katanya.

Telaah Amjad tepat, tidak jauh dari lokasi Muhammad, dia menemui mayat Sidra, 6, Hazim, 3 dan Arwa, 1.

"Mayat ibu mereka pula ditemui keesokan harinya pada jam 10 pagi," katanya.

Dalam masa sama kata Amjad, beliau turut menyelamatkan seorang lagi kakaknya, yang terperangkap di rumah mereka di dalam ruangan bawah tanah, bangunan setinggi lima tingkat.

Ruangan dalam khemah yang menempatkan keluarga Amjad Al-Ahmad di Reyhanli selepas mereka semua kehilangan tempat tinggal dalam kejadian genpa bumi Turkiye pada 6 Februari lalu.
Ruangan dalam khemah yang menempatkan keluarga Amjad Al-Ahmad di Reyhanli selepas mereka semua kehilangan tempat tinggal dalam kejadian genpa bumi Turkiye pada 6 Februari lalu.

"Kakak saya terselamat bagaimanapun seorang anaknya berusia enam tahun terkorban. Ketika diselamatkan, kakak saya sedang memeluk tiga lagi anaknya," katanya.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!