Tabung #BantuanBencana ceriakan pelarian Syria

Petugas misi bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care menyusun sumbangan kayu api kepada mangsa gempa bumi di Az Zawf, Idlib. Gambar kecil: Siti Sakinah
Petugas misi bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care menyusun sumbangan kayu api kepada mangsa gempa bumi di Az Zawf, Idlib. Gambar kecil: Siti Sakinah
A
A
A

BANTUAN rakyat Malaysia melalui Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care memberi sinar baharu buat keluarga pelarian dalam negara yang menjadi mangsa gempa bumi di perkampungan di Armala dan Az Zawf yang terletak di barat Syria.

Ketua misi yang juga Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pasukan misi bantuan telah menyediakan 200 bekas makanan yang memberi manfaat kepada 130 keluarga di perkampungan di Armala pada Jumaat.

Sementara itu di perkampungan di Az Zawf, seramai 50 keluarga menerima bantuan khemah, karpet, tilam dan kayu api.

“Bantuan peringkat pertama ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban memandangkan kediaman mereka di perkampungan ini musnah dalam kejadian gempa bumi.

Penduduk di perkampungan Armala, Idlib yang terjejas akibat gempa bumi menerima bantuan bekalan makanan melalui bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care.
Penduduk di perkampungan Armala, Idlib yang terjejas akibat gempa bumi menerima bantuan bekalan makanan melalui bantuan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care.

“Tambahan pula ketika ini adalah musim sejuk yang boleh mencecah suhu satu hingga tiga darjah Celsius pada waktu malam,” katanya kepada Sinar Harian.

Gempa bumi berukuran 7.8 skala Richter pada 6 Februari lalu mendatangkan kemusnahan teruk di barat dan utara Syria yang menempatkan pelarian dalam negara.

Setakat tiga hari lalu, seramai 5,800 orang telah terkorban dan sekurang-kurangnya 5.3 juta penduduk di Syria kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah akibat gempa bumi itu.

Siti Sakinah menambah, bantuan daripada tabung tersebut akan disalurkan beberapa peringkat di Syria termasuk di kawasan paling teruk terjejas di Jindires, Afrin di Aleppo.

“Syria Care dan Sinar Harian terus komited dalam membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi sejak hari kedua bencana lagi.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dan Syria dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi.
Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dan Syria dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi.

“Sokongan anda untuk menyumbang bagi fasa kedua tabung kecemasan yang sedang digerakkan amat diperlukan bagi meringankan beban pelarian Syria dalam negara,” katanya.

Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye serta Syria bagi misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Kanak-kanak mangsa gempa tersenyum menerima kunjungan Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) di perkampungan Armala, Idlib.
Kanak-kanak mangsa gempa tersenyum menerima kunjungan Sinar Harian bersama Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) di perkampungan Armala, Idlib.

Mereka yang ingin menyumbang boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/