Mahkamah putuskan siasatan terhadap Nazlan tidak ikut protokol

Tun Tengku Maimun Tuan Mat
Tun Tengku Maimun Tuan Mat
A
A
A

PUTRAJAYA - Panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan pada Jumaat memutuskan bahawa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman, dan tidak mengikut protokol.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel itu berkata, cara penyiasatan dijalankan ke atas Mohd Nazlan dengan menghebahkannya melalui kenyataan akhbar, kelihatan tidak menjaga soal keyakinan terhadap kebebasan badan kehakiman.

Beliau berkata, waktu siasatan terhadap Nazlan yang yang menimbulkan persoalan, dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan terhadapnya dilakukan secara bona fide ​​(dengan niat baik).

Datuk Mohd Nazlan
Datuk Mohd Nazlan



"Walaupun kenyataan media SPRM tidak menyatakan nama Mohd Nazlan, laporan berita-berita semasa media yang menyebut Hakim Nazlan dan blog terdahulu dengan kesimpulan mereka semua merujuk kepada beliau, yang membolehkan sesiapa jua yang membaca kenyataan media itu untuk menyimpulkan atau percaya, bahawa Hakim Nazlan disyaki melakukan jenayah. Kenyataan itu sendiri boleh memburukkan imej badan kehakiman yang bebas,” katanya.

Tengku Maimun turut berkata, semasa kenyataan media itu dikeluarkan, media hangat melaporkan bahawa rayuan terakhir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam SRC International Sdn Bhd akan didengar di Mahkamah Persekutuan tidak lama lagi.

Menurutnya, Najib malah telah bergantung kepada hujah bahawa, apa yang dianggap sebagai berat sebelah oleh Mohd Nazlan dan pekerjaannya terdahulu dengan Maybank - sebagai asas untuk membatalkan sabitannya.

Hakim-hakim lain dalam panel Mahkamah Persekutuan itu terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang

Tengku Maimun berkata demikian dalam keputusan sebulat suara mahkamah untuk menjawab dua persoalan undang-undang, berkaitan kuasa badan penyiasat jenayah menyiasat hakim kanan yang sedang berkhidmat, di samping kuasa pendakwa raya untuk memulakan prosiding terhadap hakim kanan.

Persoalanan itu dibangkitkan oleh tiga peguam, yang terdiri daripada Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai.

Peguam itu mengemukakan saman pada 6 Mei tahun lepas terhadap ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Persekutuan selepas SPRM membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan berikutan laporan yang dibuat mengenai jumlah tidak dapat dijelaskan lebih RM1 juta dalam akaun bank Mohd Nazlan).

Peguam itu berhujah bahawa badan penyiasat jenayah dan pihak pendakwaan hanya boleh memulakan siasatan ke atas hakim yang sedang berkhidmat selepas hakim itu digantung tugas oleh Yang di-Pertuan Agong atau telah disingkirkan oleh tribunal.

Mohd Nazlan kemudiannya membuat laporan polis terhadap sebuah portal dalam talian yang mendakwa beliau disiasat berhubung kekayaan yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Mohd Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan denda RM210 juta atas tujuh pertuduhan berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada 28 Julai 2020.

Dalam keputusan hari ini, Tengku Maimun turut berkata satu set protokol berlu dipatuhi apabila seseorang hakim disiasat, termasuk mendapatkan permohonan daripada Ketua Hakim Negara terlebih dahulu sebelum memulakan siasatan.

Beliau berkata ini kerana Ketua Hakim Negara mungkin lebih tahu perkara-perkara yang tidak diketahui badan siasatan, dan ia juga akan memelihara kebebasan badan kehakiman.

Beliau berkata, badan siasatan jenayah tidak boleh dengan sendirinya menghebahkan atau mengiklankan fakta penyiasatan atau kandungan penyiasatan hakim mahkamah atasan tanpa kebenaran Ketua Hakim Negara, dan keseluruhan kandungan mesti dirahsiakan pada setiap masa.

Beliau berkata, hakim-hakim adalah dianggap sebagai warganegara dengan karekter yang bermoral tinggi, dan menambah "pengumuman mengenai siasatan terhadap hakim sahaja sudah cukup untuk merosakkan imej institusi tempat beliau berkhidmat”.

Tiga peguam berkenaan diwakili oleh peguam mereka Datuk Malik Imtiaz dan A.Surendra Ananth manakala peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin mewakili Azam, SPRM dan kerajaan Persekutuan, manakala peguam New Sin Yew sebagai sahabat mahkamah. - Bernama