Kutipan kempen PRU14 hak Syed Saddiq - Saksi

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pegawai khas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa kutipan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah hak milik Ahli Parlimen Muar itu.

Mohamed Amshar Aziz, 30, berkata demikian ketika prosiding bela diri bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah wang RM1 juta, salah guna harta RM120,000 dan pengubahan wang haram (AMLA) RM100,000, di hadapan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Saksi pembelaan kedua itu berkata, jumlah kutipan itu menjadi hak Syed Saddiq tanpa perlu menolak kos penganjuran.

Menjelang PRU14 lalu, beliau ditugaskan untuk menganjur majlis amal di Ampang, Selangor sementara satu lagi majlis di Muar, Johor yang diuruskan 'team Saddiq' iaitu Hidayah dan Luqman Long di Muar pada awal April 2018.

Menurutnya, bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali tidak terbabit dalam kedua-dua majlis meraih dana itu, malah dia tidak menghadirinya.

“Majlis-majlis tersebut telah dianjurkan bagi meraih dana untuk kempen Syed Saddiq tanpa penglibatan Bersatu ataupun Armada.

"Maka, hasil kutipan dana tersebut bukan milik Armada, Bersatu ataupun akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE),” katanya ketika membaca pernyataan saksi.

Dalam prosiding hari pertama pada Rabu lalu, Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu memberitahu mahkamah bahawa, beliau telah membelanjakan wang simpanannya sebanyak RM171,675 semasa PRU14 bermula 16 April hingga 8 Mei 2018.

Bagi mengumpulkan dana PRU, beliau berkata, dua program iaitu ‘Makan Amal Muo’ di Muar, Johor dan ‘Fund-Raising Battle for Johor’ di Ampang, Selangor dibuat pada 7 dan 8 April 2018 dan berjaya mencapai kutipan sebanyak RM120,000.

Sementara itu, saksi pembelaan ketiga, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin, 31, berkata, Syed Saddiq tidak pernah menyatakan beliau berhak ke atas wang dalam akaun Armada kerana ia merupakan hasil titik peluhnya dan hendaklah digunakan bagi membolehkan pemimpin itu mendapat 'political mileage'.

Bagaimanapun katanya, Syed Saddiq tidak pernah mengarahkan Rafiq Hakim untuk mengeluarkan wang RM1 juta daripada akaun tersebut.

“Keputusan dibuat oleh pimpinan G5 Armada secara bersama, bahawa bantuan diperlukan untuk Covid-19, Ramadan dan Aidilfitri.

"Jumlah pengeluaran adalah berdasarkan keperluan setelah Rafiq Hakim berbincang dengan Exco Armada yang bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, Ulya Aqamah menafikan telah berpakat dengan Syed Saddiq ketika memberi keterangan dan tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa beliau akan berbuat apa sahaja untuk membantu bekas ketuanya yang menghadapi pertuduhan kes jenayah di mahkamah.

Isu tersebut dibangkitkan oleh pasukan pendakwaan yang berpendirian bahawa keterangannya di mahkamah bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika sesi soal siasat sebelum ini.

Dia turut menafikan bahawa keterangannya di mahkamah adalah sesuatu yang difikirkan semula.

Susulan itu, pihak pendakwaan memohon untuk memasukkan tiga muka surat daripada keseluruhan pernyataan SPRM yang diberikan oleh Ulya Aqamah, sebagai ekshibit.

Bagaimanapun, peguam Syed Saddiq iaitu Gobind Singh Deo membantah perkara berkenaan kerana penyataan kepada SPRM tidak boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti Ulya Aqamah yang merupakan saksi pembelaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung 13 Mac ini.