Arca burung raja udang, kuda guna 1,200kg bahan terpakai

Arca burung raja udang dan kuda yang dibina dari bahan kitar semula diletakkan di dinding bangunan kedai di Kuantan Art Street. Gambar kecil: Sharudin
Arca burung raja udang dan kuda yang dibina dari bahan kitar semula diletakkan di dinding bangunan kedai di Kuantan Art Street. Gambar kecil: Sharudin
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 1,200 kilogram (kg) bahan kitar semula digunakan untuk menghasilkan arca berbentuk burung raja udang dan kuda yang dilekatkan pada dinding bangunan kedai di Kuantan Art Street.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, melalui jalinan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Alam Flora Sdn Bhd, dua ekor haiwan itu direka pensyarah dan alumni UiTM menerusi projek Waste To Art.

Menurutnya, gabungan kreatif menghasilkan dua arca itu mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan selepas proses pengumpulan bahan kitar semula dijalankan.

"Arca burung raja udang dihasilkan daripada barangan seperti besi, rim, roda basikal, kipas angin, botol, barangan plastik, alat ganti motor, botol cat semburan, botol sabun, acuan loyang kuih dan motherboard komputer yang telah diproses. Berat arca burung raja udang ini dianggarkan 900kg.

"Arca kuda digarap daripada paduan bahan buangan yang terdiri daripada sisa automotif terpakai seperti bahagian enjin kereta, body scrap metal, waste latex, plastik, tin minuman aluminium, absorber, shaft, wayar, ceper gear dan bahan-bahan buangan ini telah menyumbang kepada keberatan yang dianggarkan mencecah sehingga 300kg.

"Kedua-dua arca ini dilapisi semburan bahan 2K bagi mengatasi faktor kepudaran dan kehausan untuk jangka masa tiga hingga lima tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau menjelaskan kaedah penghasilan dua karya seni itu bertemakan fauna menggabungkan barangan kitar semula yang diolah kemudian dilekat dan dicantumkan membentuk imej tiga dimensi (3D) atau arca relif.

Sharudin menambah, pereka memaklumkan arca kuda dihasilkan dengan mengambil ilham daripada hobi dan minat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang amat sinonim dengan aktiviti berkuda.

"Berilhamkan idea tersebut, objek kuda menjadi pilihan dalam memvisualkan arca seni kepada realiti.

"Sementara itu, arca burung raja udang pula kerana banyak berterbangan di sekitar Sungai Kuantan," jelas beliau.

Sharudin memaklumkan SWCorp Pahang menghargai kerjasama MBK kerana membenarkan bangunan lama yang berada di sekitar laluan Kuantan Street Art digunakan sebagai lokasi penghasilan karya Waste To Art itu.

Jelasnya, usaha ini seiring dengan hasrat MBK sendiri untuk menarik kedatangan pelancong ke daerah ini melalui pelbagai inisiatif antaranya, menceriakan lorong belakang deretan bangunan lama yang berada di Jalan Mahkota dan Jalan Besar melalui penghasilan Kuantan Art Street itu sendiri.

Selain itu, beliau menambah, penghasilan arca ini adalah simbolik untuk memupuk minat masyarakat yang mementingkan kelestarian alam sekitar.

"Di samping itu juga,penghasilan arca ini adalah manifestasi rakyat Pahang yang cintakan kebersihan dan lestari," ujarnya.