Isu bekalan minyak masak peket belum sampai tahap krisis

Kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi di negara ini belum sampai pada tahap krisis. - Gambar hiasan
Kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi di negara ini belum sampai pada tahap krisis. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menegaskan kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi di negara ini belum sampai pada tahap krisis kerana hanya melibatkan kawasan-kawasan tertentu yang boleh diatasi segera.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, diakui berlaku kawalan dalaman di kedai-kedai runcit memastikan lebih ramai pengguna dapat membeli bekalan bersubsidi itu.

Menurutnya, kerajaan akan terus memantau isu bekalan minyak masak peket bersubsidi bagi memastikan tidak berlaku krisis.

"Setakat ini, tidak lagi sampai pada tahap krisis kerana sekiranya ada kes (tiada bekalan) di satu-satu tempat pada masa-masa tertentu, KPDN akan segera arahkan pegawai untuk ambil tindakan sewajarnya.

"Di kedai runcit mereka terpaksa buat kawalan dalaman. Kita tak boleh terus nak saman, nak tangkap. Kerana mereka akan buka satu kotak pagi, satu kotak tengah hari, satu kotak petang dan satu kotak malam.

"Mereka berhujah jika dibuka empat kotak serentak, maka akan cepat habis dibeli," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang mahu tahu apakah tindakan kepada peniaga yang menjual minyak masak peket bersubsidi kepada peniaga restoran dan apakah status bekalan itu di pasaran.

Salahuddin menjelaskan, isu kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi antara lain disebabkan kebanyakan peniaga luar bandar tidak mempunyai Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS).

"Jadi kerajaan akan mudah cara dan pegawai-pegawai akan adakan libat urus dengan peniaga supaya jangan disebabkan isu ECOSS mereka lambat mendapatkan bekalan. Kita juga akan pantau dari semasa ke semasa," katanya.

Tambah beliau, sehingga kini hampir 2898 kes telah disiasat dan 13 kes telah dibuat pendakwaan membuktikan KPDN tidak lalai menjalankan penguatkuasaan.