Bayi ajaib dipelihara bapa saudara

Khalil memegang anak saudaranya, Afraa yang dilahirkan di bawah runtuhan bangunan di bandar Jindayris pada awal bulan lalu. - Foto: AFP
Khalil memegang anak saudaranya, Afraa yang dilahirkan di bawah runtuhan bangunan di bandar Jindayris pada awal bulan lalu. - Foto: AFP
A
A
A

DAMSYIK - [KEMAS KINI] Kisah bayi ajaib, Afraa al-Suwadi pernah mendapat perhatian komuniti antarabangsa selepas rakaman video memaparkan dia dibawa keluar sejurus dilahirkan dari bawah runtuhan bangunan di utara Syria menjadi tular pada awal bulan lalu.

Afraa yang kehilangan ibu dan bapanya dalam tragedi itu kini diberikan ‘kehidupan baharu’ oleh bapa saudaranya.

“Dia adalah nyawa dan segala-galanya bagi saya,” kata Khalil al-Suwadi yang kini tinggal di bawah khemah sementara di bandar Jindayris yang terjejas gempa pada 6 Februari lalu.

Bayi comel itu dinamakan sempena nama ibunya, Afraa yang terkorban dalam kejadian gempa tersebut.

Menurut Khalil, Afraa berada di bawah jagaannya kira-kira seminggu selepas anak saudaranya itu dimasukkan ke hospital di bandar tersebut yang terletak berhampiran sempadan Turkiye.

“Saya turut menjalani ujian DNA untuk mengesahkan bahawa kami mempunyai pertalian keluarga. Detik paling menggembirakan adalah ketika pihak hospital memaklumkan kami boleh mengambil Afraa. Sukar untuk gambarkan perasaan saya ketika itu.

“Afraa adalah kenangan bapa, ibu dan adik-beradiknya yang terkorban. Dia kini menjadi salah seorang anak perempuan saya,” ujar Khalil yang turut membantu usaha menyelamatkan anak saudaranya pada masa itu.

Difahamkan, isterinya juga baru melahirkan bayi mereka beberapa hari lalu dan kehadiran Afraa akan memeriahkan lagi keluarga tersebut. - AFP








Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/