Dua lelaki mengaku tidak bersalah samun kedai serbaneka

Kedua-dua tertuduh ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kemaman pada Rabu atas dakwaan melakukan jenayah samun bersenjata dalam kejadian awal Februari lalu.
Kedua-dua tertuduh ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kemaman pada Rabu atas dakwaan melakukan jenayah samun bersenjata dalam kejadian awal Februari lalu.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pengusaha pusat snooker dan pekerja 'carwash' dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dakwaan melakukan samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di daerah ini, awal Februari lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Zainal Abidin Mohd Ghafar, 39, dan Ahmad Rifdi A Rahman, 25, mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan sebatan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata ke atas pemilik kedai berusia 20 tahun kira-kira jam 1.30 pagi di sebuah kedai serbaneka di kawasan Chukai, di sini pada 2 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa melarikan sebuah telefon bimbit, modem WiFi, wang tunai hasil jualan berjumlah RM7,000, dua kotak rokok serta beg galas milik mangsa yang mengandungi kad bank, kunci kereta dan rumah serta wang tunai bernilai RM250.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap rakan mangsa berusia 35 tahun dengan melarikan wang tunai RM300, telefon bimbit serta beg silang milik mangsa pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Kedua-dua tertuduh berdepan satu lagi tuduhan merompak rakan mangsa berusia 19 tahun dengan melarikan dua telefon bimbit, wang tunai RM800 dan beg silang milik mangsa pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 seorang dan menetapkan 28 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah SH Sahul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Rozilawati Mat Hassan.