KK Group sedia beri bantuan kepada mangsa gempa bumi Turkiye

Dari kanan: Chai, Emir Salim dan Ahmad ketika berkunjung ke Kedutaan Turkiye pada Khamis lalu.
Dari kanan: Chai, Emir Salim dan Ahmad ketika berkunjung ke Kedutaan Turkiye pada Khamis lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan KK Group of Companies menyatakan kesediaan untuk menyumbang bantuan keperluan asas kepada mangsa gempa bumi di Turkiye.

Pengerusi eksekutif kumpulannya, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, bantuan tersebut merangkumi makanan kering, sarung tangan perubatan, lampin pakai buang dan tuala wanita.

“Selepas perbualan bersama Duta Besar Turkiye, Emir Salim Yuksel, jelas bahawa gempa bumi baru-baru ini telah menyebabkan kerosakan yang teruk kepada negara ini di samping peningkatan kadar kematian dan kecederaan kepada warganegara mereka.

“Saiz kemusnahan ini amat menyedihkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis lalu.

Pada hari yang sama, beliau berkesempatan bersama Duta Palestin di Malaysia, Tan Sri Ahmad Al Farra melawat Kedutaan Turkiye bagi menzahirkan rasa simpati dan hasrat untuk membantu mangsa yang terjejas.

Sementara itu, Emir Salim ketika pertemuan itu menyatakan penghargaan berhubung dana dan bantuan yang diberikan Kerajaan Malaysia untuk membantu usaha pemulihan gempa bumi.

Jelas beliau, menerusi dukungan yang diberikan, ia sedikit sebanyak memberikan keyakinan kepada republik tersebut untuk menyelesaikan operasi pencarian dan penyelamatan dalam tempoh tiga bulan serta memulakan pembinaan pascabencana dalam jangka masa setahun.

“Sekarang, Turkiye menghadapi cabaran yang signifikan dan belum pernah berlaku selepas gempa bumi.

“Kawasan yang terjejas ibarat saiz seperti seluruh negara Portugal ditambah dengan keadaan cuaca tempatan yang menyukarkan operasi pencarian dan penyelamatan serta kawasan ini mengalami suhu yang sangat rendah pada musim sejuk,” ujarnya.

Kata beliau, mangsa yang terjejas kini memerlukan beberapa bekalan seperti sumbangan tunai termasuk khemah musim sejuk, generator, pemanas, selimut dan beg tidur.

Kedutaan republik berkenaan turut menggunakan akaun Twitter rasminya bagi menyalurkan sumbangan dan bekalan daripada rakyat Malaysia.