Segera pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

Cynthia Gabriel ketika menjadi panelis program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.
Cynthia Gabriel ketika menjadi panelis program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menyegerakan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi menjamin keselamatan dan imuniti pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat dengan bertanggungjawab demi mengawal selia risiko ketirisan.

Pengasas Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel berkata, sekiranya Kerajaan Perpaduan serius untuk melawan rasuah, agenda untuk meminda akta ini perlu dipercepatkan dan disegerakan.

"Jangan ditangguhkan lagi kerana ia juga sebagai satu langkah transformasi undang-undang yang sudah lama kita sarankan kepada kerajaan sebelum ini.

"Kajian dan penyelidikan juga telah kami usahakan selama ini, jadi tiada sebab untuk akta ini tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan," tegasnya.

Beliau berkata demikian selaku panelis program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.

Mengulas lanjut katanya, pindaan ini juga bertujuan memperbaiki saluran aduan agar ia diperluas dan melahirkan keyakinan serta mempertahankan hak pelopor.

Christopher Leong ketika program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.
Christopher Leong ketika program Nota Rasuah Busters kepada PMX yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian dan Astro Awani pada Rabu.

Sementara itu, peguam dan bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong menerusi nota tuntutan kelima Rasuah Busters kepada PMX menggesa supaya pentadbiran Perdana Menteri segera meminda Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009.

Tegasnya, ia demi kebebasan badan kehakiman negara.

"Proses pemilihan hakim harus dibuat berdasarkan kriteria yang tepat melalui pelantikan telus dan bebas tanpa pengaruh eksekutif.

"Proses yang lebih sistematik akan memperbetulkan sebarang persepsi penyalahgunaan kuasa dalam proses pelantikan," katanya.