[VIDEO] Jana Wibawa: Pengurus syarikat didakwa terima rasuah RM12.87 juta

Tertuduh (depan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu, atas sembilan pertuduhan menerima dan meminta rasuah berkaitan projek Jana Wibawa.
Tertuduh (depan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu, atas sembilan pertuduhan menerima dan meminta rasuah berkaitan projek Jana Wibawa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12.87 juta berkaitan projek Jana Wibawa antara Julai 2021 hingga Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Datuk Teo Wee Cheng, 65, yang juga ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Tertuduh yang juga Pengarah SSH Furniture Sdn Bhd didakwa atas dua pertuduhan meminta wang suapan sebanyak RM3.9 juta dan RM7.4 yang juga 10 peratus daripada harga kontrak membabitkan program Jana Wibawa yang bernilai RM39 juta dan RM74 juta.

Ia masing-masing bagi projek menaiktaraf jalan pintasan dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen di Segamat dan membina jalan dari Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha di Sedili, Kota Tinggi.

Tindakan itu sebagai upah membantu Syarikat Muar Usaha Bakti Sdn Bhd mendapat projek berkenaan dan mendorong Syarikat Liku Prestasi Sdn Bhd yang memperoleh projek di Kota Tinggi supaya melantik Syarikat TS Dynamic Construction Sdn Bhd sebagai sub kontraktor.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Wee Cheng di Pejabat Trimetro Development Sdn Bhd, Jalan Majidi, Muar antara Julai 2021 dan Mei hingga Jun 2022.

Wee Cheng juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta bagi projek menaiktaraf jalan pintasan dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen di Segamat dan membina jalan dari Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha di Sedili, Kota Tinggi.

Ia sebagai upah membantu Syarikat Muar Usaha Bakti Sdn Bhd mendapatkan projek di Segamat dan sebagai upah kerana bersetuju melantik Syarikat TS Dynamic Construction Sdn Bhd sebagai sub kontraktor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat miliknya di Kawasan Perindustrian Pagoh, Muar antara 20 Ogos 2021 sehingga 15 November 2022.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah II, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Ahmad Akram Gharib sementara tertuduh diwakili peguam Cains Tan.

Hakim membenarkan Wee Cheng diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai kes.

Mahkamah menetapkan tarikh 17 Mei depan sebagai sebutan kes dan serahan dokumen.