Wan Saiful mengaku tidak bersalah dua pertuduhan rasuah

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) information chief, Datuk Wan Saiful Wan Jan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) information chief, Datuk Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu.

Wan Saiful, 48, atau nama sebenarnya, Wan Saifulruddin Wan Jan membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

"Saya tidak mengaku bersalah, dan mohon dibicarakan," kata Wan Saiful.

Mengikut pertuduhan pertama, pemuda itu didakwa meminta suapan daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan untuk membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara Pra Kelayakan bernilai RM232 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa menerima suapan RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis.

Ia sebagai upah kerana membantu Syarikat Nepturis mendapatkan surat setuju terima bagi projek sama berjumlah keseluruhannya bernilai RM232 juta.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, di sini, pada 8 Julai hingga 30 September 2022.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin antara RM500,000 hingga RM1 juta dengan seorang penjamin.

“Jumlah itu munasabah kerana kesalahan yang dipertuduhkan adalah serius dan kami mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali.

“Kami akui, tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan telah memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan ini dijalankan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin tidak lebih RM300,000 dengan seorang penjamin.

“Kedua-dua akaun banknya telah dibekukan oleh SPRM malah isterinya menghadapi masalah kesihatan,” katanya.

Selain Hisyam, Wan Saiful turut diwakili peguam, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Rosal Azimin Ahmad.

Selepas mendengar perkara itu, Azura membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000 dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM Putrajaya dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.