Dua tangki air statik atasi masalah air di Sahom

Salah sebuah tangki statik yang ditempatkan oleh LAP bagi mengatasi masalah bekalan air di Kampung Sahom di sini.
Salah sebuah tangki statik yang ditempatkan oleh LAP bagi mengatasi masalah bekalan air di Kampung Sahom di sini.
A
A
A

KAMPAR - Lembaga Air Perak (LAP) telah menempatkan dua tangki air statik di Kampung Sahom di sini bagi mengatasi isu bekalan air terputus yang dihadapi penduduk kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, penempatan dua tangki air berkenaan merupakan penyelesaian sementara sebelum tindakan lanjut dilaksanakan.

Menurutnya, masalah bekalan air yang sering terputus di Kampung Sahom, di sini antara isu yang mendapat perhatian sejak menjadi Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Kampar pada penggal lalu.

"Kebelakangan ini, masalah tersebut semakin kerap berlaku. Saya telah bawa masalah ini untuk makluman kepada pihak pengurusan LAP dan juga kepada exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab.

"Bagi langkah jangka sementara untuk memastikan urusan harian penduduk di Kampung Sahom tidak terganggu, malam tadi (Selasa), dua tangki statik telah diletakkan oleh pihak LAP di dua lokasi yang berbeza iaitu di Masjid Kampung Sahom dan di Sekolah Kebangsaan Sahom," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Mohd Azlan Helmi berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak LAP untuk memastikan masalah bekalan air di Kampung Sahom itu tidak berulang lagi.

Jelas Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, pihaknya berharap LAP akan mengambil tindakan yang perlu dilakukan dalam isu itu untuk penyelesaian jangka panjang.