Naik taraf Klinik Desa Lima Kedai

Lokasi Klinik Desa Lima Kedai dianggap kurang strategik.
Lokasi Klinik Desa Lima Kedai dianggap kurang strategik.
A
A
A

KLINIK desa antara fasiliti yang beroperasi untuk pemeriksaan kesihatan ibu dan kanak-kanak yang diuruskan oleh jururawat masyarakat.

Justeru, seiring dengan kepesatan pembangunan hari ini, sudah semestinya fasiliti perubatan seperti klinik desa ini perlu ditambah baik perkhidmatannya.

Antara klinik desa yang perlu ditambah termasuklah Klinik Desa Lima Kedai yang beroperasi di kawasan Perumahan Rakyat Lima Kedai, Johor Bahru.

Ruang menunggu yang agak terhad di Klinik Desa Lima Kedai.
Ruang menunggu yang agak terhad di Klinik Desa Lima Kedai.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI berhubung permintaan orang ramai yang mahu perkhidmatan klinik desa berkenaan yang telah beroperasi hampir lima dekad lalu dinaik taraf kemudahan dan perkhidmatannya.

Rata-rata pengunjung menyuarakan mahu Klinik Desa Lima Kedai di sini ditambah baik dari pelbagai aspek bagi menjamin keselesaan orang ramai.

Menurut mereka, penambahbaikan yang dilakukan kelak akan menjadikan sistem penyampaian klinik terbabit lebih efektif.

Klinik tersebut menjadi nadi kepada penduduk Perumahan Lima Kedai, Kampung Melayu Lima Kedai, Taman Maju, Taman Mutiara Rini, Kawasan Perumahan Rumah Iskandar Malaysia dan beberapa taman baharu di sekitar kawasan berkenaan.

Kepada suri rumah, Nur Alfaatihah Azhar, 29, klinik desa berkenaan perlu ditambah baik bagi menjamin keselesaan orang ramai yang datang mendapatkan rawatan di situ.

Katanya, setiap hari klinik berkenaan menjadi tumpuan orang ramai terutamanya wanita hamil dan yang menjalani rawatan susulan selepas melahirkan anak.

“Disebabkan ramai ibu hamil yang menggunakan klinik ini, sepatutnya kemudahan tandas sedia ada boleh ditambah baik. Buat masa ini terdapat dua saja tandas itu pun ia terletak di bahagian belakang klinik.

“Begitu juga dengan kerusi dan alat penyaman udara. Buat masa ini, penyaman udara hanya ada dalam bilik rawatan, jadi mungkin boleh pertimbangan di ruang menunggu pula,” katanya.


Kemudahan tandas di klinik berkenaan yang perlu ditambah baik.
Kemudahan tandas di klinik berkenaan yang perlu ditambah baik.

Pendapat itu turut dipersetujui suaminya, Nik Nurhairy Nik Muhammad, 33, yang berharap kerja-kerja penambahbaikan dapat dilaksanakan pada kadar segera.

Muhammad Aiman Zubir, 32, pula berpendapat, klinik desa berkenaan mungkin memerlukan lokasi baharu kerana lokasi sedia ada terlalu hampir dengan penempatan penduduk.

Katanya, keadaan itu menyukarkan orang ramai meletak kenderaan ketika mahu berurusan di klinik desa berkenaan.

“Kedudukan klinik desa ini terletak jauh sikit dari jalan besar iaitu Jalan Skudai – Gelang Patah, tentunya ia menyukarkan mereka yang tiada kenderaan. Mereka yang datang atau pulang menaiki teksi perlu turun betul-betul di hadapan klinik.

“Lokasi klinik ini kurang sesuai. Sebaiknya, pindahkan klinik di kawasan baharu dan lebih dekat dengan jalan besar bagi memudahkan urusan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, bagi suri rumah, Siti Nurqalila Omar, 30, klinik desa berkenaan juga memerlukan kakitangan tambahan bagi membantu melancarkan sistem penyampaian sedia ada.

“Sistem penggiliran pesakit masih dibuat secara manual iaitu dengan memanggil nama pesakit sebelum masuk ke bilik rawatan.

“Sebaiknya sistem ini ditukar kepada sistem digital seperti yang digunakan di kaunter-kaunter perkhidmatan termasuk di hospital,” ujarnya.

Klinik Desa Lima Kedai sudah hampir lima dekad beroperasi

Dalam pada itu, permintaan orang ramai agar Klinik Desa Lima Kedai di Kawasan Perumahan Rakyat Lima Kedai, Skudai ditambah baik, dilihat sebagai satu tindakan yang wajar berikutan klinik berkenaan telah beroperasi sejak lebih lima dekad lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Kawasan Perumahan Rakyat Lima Kedai, Salamian Surip, 67, permintaan berkenaan wajar diberi perhatian serius oleh pihak berwajib dalam usaha memastikan keselesaan orang ramai.

Salamian
Salamian

“Permintaan untuk menambah baik klinik desa ini lebih kepada satu keperluan yang mendesak, jika sebelum ini ada Klinik 1Malaysia di sini yang menjadi pelengkap kepada klinik desa.

“Klinik 1Malaysia itu sudah tidak ada, jadi semua orang tertumpu di klinik desa.

“Bayangkanlah, mereka yang datang ke klinik desa ini datangnya dari Lima Kedai ini sendiri, Taman Mutiara Rini, perumahan Iskandar (Rumah Iskandar Malaysia), Taman Maju, Bestari dan beberapa taman lain di kawasan ini, jadi memang perlulah kalau nak ditambah baik atau dibina klinik desa yang baharu,” katanya dianggarkan lebih100,000 penduduk menetap di sekitar kawasan berkenaan.

Tambah Salamian, klinik desa yang mula wujud sejak penghujung 60-an itu merupakan antara bangunan terawal dibina di kawasan berkenaan selain Balai Polis Lima Kedai.

Beliau yang juga Pengerusi Surau Nur Hidayah Kawasan Perumahan Rakyat Lima Kedai itu berkata, sejak beroperasi secara rasmi pada 1975, klinik desa berkenaan merupakan fasiliti perubatan yang menjadi tumpuan bagi penduduk di kawasan sekitar.

“Saya juga berharap agar Klinik Desa Lima Kedai ini dapat ditambah baik dalam usaha memberikan perkhidmatan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Penambahbaikan klinik desa berkenaan juga ujar beliau, dapat memberi imej baharu kepada perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kepada penduduk di sini.