'Lanun rimba' didakwa di mahkamah

Tertuduh (dua, kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
Tertuduh (dua, kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, hari ini.
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Seorang pembalak haram (lanun rimba) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, kerana mengugut untuk menampar seorang pegawai perhutanan.

Tertuduh, Anudin Abdul Ghani, 41, membuat pengakuan itu dihadapan Majistret Nurul Huda Akmal Mohamed setelah pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Anudin telah melakukan ugutan jenayah terhadap Haziq Syahmi Rohaizat, 24, yang juga seorang pegawai perhutanan pada 8 Disember lalu.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, bertempat di tepi jalan Felda Kerteh Satu, Ketengah Jaya di Dungun.

Oleh yang demikian, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Sebaik pengakuan tidak bersalahnya direkodkan, Nurul Huda menetapkan sebutan semula kes pada 30 Disember depan di Mahkamah Majistret Dungun.

Beliau turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan oleh Asisten Superintendan L Rathna.

Difahamkan sebelum ini, pengadu yang juga pegawai perhutanan Dungun bersama dua anggotanya telah pergi ke Hutan Simpan Rasau setelah mendapat maklumat ada berlaku pencerobohan di kawasan itu.
Artikel Berkaitan:


Pengadu ke lokasi untuk mengambil gambar namun tertuduh telah mengugut untuk menampar pengadu yang ketika itu sedang mengambil gambar.