RM400 juta diperlukan baiki jalan Persekutuan rosak

Mohammad Fakhruddin (kiri) sedang melihat pelan jalan yang akan diselenggara oleh pihak berkaitan di Jalan Semambu di sini pada Selasa.
Mohammad Fakhruddin (kiri) sedang melihat pelan jalan yang akan diselenggara oleh pihak berkaitan di Jalan Semambu di sini pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang memerlukan RM400 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi membaiki pulih dan menyelenggara 3,000 kilometer (KM) jalan Persekutuan di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, peruntukan itu bagi memulakan kerja-kerja penurapan, membuat lapisan atau jalan baharu.

Menurutnya, permohonan peruntukan itu akan dibentang pada 24 Februari ini sebelum keputusan akan diperoleh pada pembentangan Belanjawan 2023.

"Kita pohon (peruntukan) RM400 juta daripada Kerajaan Persekutuan ini untuk membaiki pulih jalan Persekutuan berdasarkan aduan yang terima daripada rakyat di laman sosial terutama berkaitan masalah kualiti jalan.

"Jalan-jalan negeri kita tiada masalah besar sangat, tetapi kita perlu menyelenggara jalan Persekutuan. Justeru kita harap permohonan dan peruntukan ini dapat diluluskan segera," katanya pada sidang akhbar selepas sesi taklimat bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bertempat di Kompleks Tun Razak, di sini pada Selasa.

Mohammad Fakhruddin menjelaskan faktor Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini menyebabkan kelewatan kerajaan negeri untuk menyelenggara dan membaikpulih jalan yang rosak disebabkan kekurangan peruntukan.

“Kita juga berhadapan dengan musim tengkujuh luar biasa di mana banjir yang berlaku menyebabkan jalan mengalami kerosakan lebih teruk," jelas beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, berharap agar orang ramai tidak salah tafsir dengan tindakan 24 jam yang akan diambil pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyelesaikan masalah jalan di negeri itu.

“Setiap aduan yang diterima akan diambil kira dalam tempoh 24 jam dan sekiranya ia adalah masalah yang kecil, tindakan segera akan diambil.

“Tapi jika ia melibatkan masalah yang besar seperti jalan runtuh dan sebagainya, tidak mungkin penyelesaian dapat diambil dalam tempoh 24 jam. Bergantung kepada kerosakan,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai supaya membuat aduan berkaitan kerosakan jalan kepada wakil rakyat di kawasan masing-masing supaya isu terbabit dapat disalurkan kepada pihak JKR daerah yang kemudiannya dibawa untuk makluman kerajaan negeri.

Menyentuh isu Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) dari Lipis, Pahang ke Gua Musang, Kelantan sejauh 94 kilometer (km) yang dikatakan mengalami banyak kerosakan walaupun tidak sampai 10 tahun penggunaannya, Mohammad Fakhruddin berkata, kerajaan Pahang menyerahkan urusan penyelenggaraan kepada syarikat konsesi terlibat.

Jelasnya, kerajaan Pahang juga telah mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk membina hentian rehat dan rawat (R&R) di laluan terbabit.

“Jalan CSR ini adalah jalan di bawah kerajaan persekutuan dan tertakluk kepada kerajaan persekutuan (untuk penyelenggaraan).

“Kita pun ada mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk membina R&R di laluan itu,” katanya.