Ismail Sabri cadang TH kaji semula tempoh tunai haji

TH perlu mengkaji semula tempoh masa menunaikan haji ekoran peningkatan kos mengerjakan ibadah itu ketika ini. - Gambar hiasan
TH perlu mengkaji semula tempoh masa menunaikan haji ekoran peningkatan kos mengerjakan ibadah itu ketika ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan Lembaga Tabung Haji (TH) mengkaji semula tempoh menunaikan haji ekoran peningkatan kos mengerjakan ibadah itu ketika ini.

Ismail Sabri berkata, empat pakej tempoh masa menunaikan ibadah haji boleh diperkenalkan iaitu 14, 21, 30 dan 40 hari.

"Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos tetapi dapat menarik minat lebih ramai untuk menunaikan Rukun Islam kelima ini

"Ia kerana tempoh masa (lebih) singkat dan mungkin ada di antara kita yang terikat dengan kerja dan perniagaan," katanya ketika membahaskan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Ahli Parlimen Bera itu memberitahu, TH menganggarkan berlaku peningkatan kos haji daripada RM25,540 tahun lalu kepada RM31,870 pada tahun ini.

Kata beliau, antara faktor utama kenaikan kos haji adalah inflasi berikutan impak ekonomi global (seperti perang Russia-Ukraine), kenaikan harga minyak, isu logistik pasca Covid-19, percukaian dan banyak lagi.

"Dengan mengandaikan pengekalan aturan bayaran haji 2022 untuk tahun ini iaitu RM10,980 bagi kumpulan B40 dan RM12,980 bagi kumpulan M40, tanggungan TH bakal meningkat masing-masing kepada RM20,890 dan RM18,720. TH terpaksa menanggung subsidi yang tinggi," tambah beliau.

Menurutnya, dana bantuan kewangan haji datang sepenuhnya daripada keuntungan pelaburan yang dijana oleh TH.

"Keseimbangan tabung dan haji penting kerana ia memberi kesan langsung kepada bantuan kewangan haji terhadap kadar agihan keuntungan setiap tahun," ujar beliau.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memohon supaya kerajaan mempertimbangkan untuk mengkaji dan menggubal semula Akta Tabung Haji 1995 dikaji untuk penambahbaikan kerana ia sudah terlalu lama dan tidak relevan.

Tegasnya, sebagai contoh, tiada peruntukan untuk patuh syariah dan tadbir urus baik diwartakan di dalam Akta Tabung Haji yang sedia ada walaupun TH sebagai asasnya perlu patuh syariah.

"Penambahbaikan perlu dari segi tadbir urus, pemantauan dan kawal selia bagi memastikan dana sebanyak RM88 bilion dapat diuruskan dengan lebih sempurna.

"Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera telah ditambah baik, hanya Akta Tabung Haji yang masih belum ditambah baik," ulasnya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, cadangan bagi Akta Tabung Haji untuk dikaji dan ditambah baik telah disyorkan pada pertengahan tahun 2021 oleh kerajaan dan jemaah menteri.

"Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja juga ada menyarankan agar Akta Tabung Haji 1995 dikaji dan tambah baik.

"Justeru, saya memohon penjelasan daripada kerajaan apakah perkembangan terkini dan sasaran tarikh pelaksanaan cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995," katanya lagi.