[VIDEO] Kertas Pandora: Anwar arah jalankan siasatan terperinci

Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto: Bernama
Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan terperinci akan dilaksanakan terhadap semua individu yang disyaki terlibat dalam isu Kertas Pandora tanpa mengira parti politik.

Menurutnya, badan-badan siasatan yang terlibat telah diarahkan menjalankan siasatan berdasarkan bukti dan fakta tetapi sekiranya wujud penyalahgunaan kuasa atau motif politik, mana-mana pihak boleh mencabarnya.

"Tetapi kalau wang ratusan bilion atau ratusan juta ringgit dikeluarkan dan dibiarkan serta dilindungi kerana menyokong (mana-mana individu), itu membawa porak peranda dan melapetaka kepada negara.

"Tindakan yang diambil oleh badan-badan ini (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)), termasuk mengambil kira beberapa langkah yang lebih canggih seperti bitcoin untuk mengelakkan daripada transaksi wang tunai.

"Selain itu, beberapa langkah lain seperti digital currency yang memerlukan kecanggihan di pihak PDRM dan BNM umpamanya, dan mempertingkatkan usaha program keselamatan sekuriti," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) minta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan mengenai isu Kertas Pandora yang telah timbul semula pada minggu lepas serta sejauh mana siasatan dan tindakan susulan oleh SPRM, BNM dan PDRM dilaksanakan.

Anwar pada masa sama, meminta semua ahli Parlimen agar bersikap tegas dengan sebarang isu penyalahgunaan kerana menyifatkan tidak ramai ahli Parlimen yang bersuara ketika isu Kertas Pandora dibangkitkan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, dianggarkan hampir tiga ribu nama disebut di dalam Kertas Pandora dan siasatan ketika ini antaranya terarah kepada tokoh-tokoh politik besar.

"Seperti yang saya sebut bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, yang sebenarnya dipercayai menyalahgunakan kuasa mereka dan memunggah kekayaan semasa mereka mempunyai kuasa. Maka, itulah Kertas Pandora.

"Tidak banyak negara yang mempunyai tekad politik yang mengarahkan siasatan rapi tetapi Alhamdulillah Malaysia antara negara yang telah beri arahan yang cukup jelas supaya menghentikan amalan budaya memunggah dan merompak wang negara,"katanya,

Ahli Parlimen Tambun itu juga menambah, pihaknya akan memastikan prosedur pemberian tender dijalankan secara telus di semua peringkat kementerian bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan pelabur

Tegas beliau, amalan menyeleweng wang atas alasan membantu syarikat Bumiputera juga perlu dihentikan.

"Saya nak jelaskan bahawa ada dasar untuk membantu Bumiputera, boleh. Adalah tender terhadap dalam kalangan syarikat Bumiputera itu tidak menghalang tetapi tidak boleh digunakan alasan membantu Bumiputera untuk meminta syarikat-syarikat itu memberi wang kepada peribadi atau parti seperti amalan yang telah berlaku sebelum ini.

"Saya beri jaminan kepada Parit Sulong amalan ini akan dihentikan bukan sahaja di Kementerian Kewangan, tetapi kementerian-kementerian lain yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri," katanya.