Berpakaian tidak sopan di Terengganu berdepan tindakan

Hanafiah (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingn kategori video pendek, Hanim Sophia Sohor (kiri) sempena sambutan Terengganu Hijab Day di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah di Kuala Nerus.
Hanafiah (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingn kategori video pendek, Hanim Sophia Sohor (kiri) sempena sambutan Terengganu Hijab Day di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah di Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - Individu Muslim di Terengganu yang berpakaian mencolok mata akan berdepan tindakan selepas kerajaan negeri menguatkuasakan peruntukan terhadap kesalahan yang melanggar enakmen jenayah syariah di negeri itu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sebelum ini mereka yang ditahan kerana berpakaian mencolok mata hanya diberi nasihat oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Setakat ini belum ada individu yang dikenakan tindakan kerana kita hanya menggunakan pendekatan nasihat sahaja kepada mereka yang didapati melakukan kesalahan.

"Mungkin telah tiba masanya kita menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang tersebut di negeri ini malah Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu juga telah meluluskan beberapa pindaan berkaitan perkara ini dan kita bersedia untuk melaksanakannya," katanya selepas merasmikan sambutan Terengganu Hijab Day pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Wan Nur Sakinah Din.

Menurut Hanafiah, kerajaan negeri sebelum ini telah telah menguatkuasakan undang-undang terhadap penunggang dan pembonceng bukan mahram yang menaiki motosikal bersama-sama.

Namun, katanya, tindakan diambil hanya berbentuk nasihat dan teguran serta diberikan kaunseling bagi menyuntik kesedaran sekali gus menghindari perbuatan yang melanggar batasan agama Islam.

Persidangan DUN Terengganu pada 1 Disember tahun lalu telah meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 bagi memperkasakan pelaksanaan undang-undang syariah di negeri itu.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, pindaan itu juga bertujuan menambah baik Enakmen Kesalahan Syariah Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 yang merangkumi tambahan empat seksyen baharu dan 21 pindaan seksyen sedia ada.

Ia turut merangkumi tambahan peruntukan terhadap Seksyen 34 iaitu perbuatan atau berpakaian tidak sopan di tempat awam dan Seksyen 35 iaitu menjadi kesalahan terhadap mana-mana orang yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang pada pandangan umum menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam.

Jika disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.