Kekalkan momentum tadbir urus cemerlang - PJS

Ibrahim
Ibrahim
A
A
A

TREND penubuhan badan sukan mencatatkan peningkatan sebanyak 1,070 badan sukan didaftarkan pada tahun 2022, sekali gus menggambarkan semakin ramai pihak berminat membudayakan aktiviti itu hingga peringkat akar umbi.

Namun di sebalik itu, Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof juga mengakui bahawa kesedaran tadbir urus masih lemah apabila terdapat segelintir pemegang jawatan dalam badan sukan sekadar mentadbir badan sukan dengan sikap mengambil lewa ke atas pematuhan perlembagaan masing-masing.

Malah menurutnya, terdapat antara badan sukan ini yang gagal untuk mengemukakan laporan Maklumat Yang Kena Beri (MYKB) dan melebihi tiga(3) tahun ke atas, atau pun tidak pernah mengadakan mesyuarat tahunan sejak didaftarkan, walaupun pada hakikatnya badan sukan itu dilihat aktif melaksanakan aktiviti sukan.

"Penghantaran laporan MYKB, iaitu laporan selepas mesyuarat agung adalah salah satu syarat yang telah dikenakan oleh Pesuruhjaya Sukan apabila didaftarkan.

"Badan sukan mempunyai obligasi untuk mematuhi tadbir urus mereka sepertimana ditetapkan dalam perlembagaan yang dipersetujui oleh ahli-ahli. Mana-mana badan sukan yang gagal mengemukakan laporan MYKB untuk tiga tahun berturut-turut dianggap tidak aktif dan boleh dibatalkan di bawah Seksyen 20(1) (b) Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] kerana tidak aktif atau bukan entiti yang patut dan wajar didaftarkan untuk mewakili sukan tersebut.

"Punca utama kebanyakan persatuan sukan berkenaan dibatalkan pendaftarannya adalah disebabkan tidak aktif, apabila gagal mengemukakan laporan mesyuarat tahunan masing-masing, ini menggambarkan bahawa mesyuarat tahunan tidak diadakan mengikut ketetapan perlembagaan secara langsung bercanggah dengan tatacara perjalanan badan sukan itu. Pada mesyuarat tahunan inilah laporan aktiviti-aktiviti badan sukan dan laporan kewangan dibentangkan serta diperjelaskan kepada ahli-ahli," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Untuk rekod, sebanyak 1,322 pertubuhan sukan yang tidak aktif telah dibatalkan dalam sepanjang tempoh 2022 sehingga Januari 2023.

Pada masa sama, Ibrahim turut mengingatkan pihak berkenaan terdapat beberapa impak berikutan pembatalan persatuan sukan oleh PJS.

Tegasnya, antara kesan atau impak dari pembatalan persatuan sukan ini adalah pada badan sukan itu sendiri apabila terdapat sekatan ke atas badan sukan di bawah Seksyen 25 Akta 576 sehingga badan sukan tidak boleh menganjurkan, menjalankan, membenarkan atau menyertai apa-apa aktiviti, termasuk pertandingan, acara atau forum yang sedang berlangsung bagi mana-mana sukan samada di dalam atau di luar Malaysia.

"Selain itu persatuan sukan itu tidak boleh menerima atau terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan termasuk Majlis Sukan Negara atau mana-mana badan berkanun.

"Badan sukan itu tidak boleh menjadi anggota mana-mana badan atau organisasi yang bertindak sebagai atau berupa bertindak sebagai badan pengelola mana-mana sukan di Malaysia atau mewakili atau berupa mewakili peserta mana-mana sukan di Malaysia.

"Badan sukan itu tidak boleh menggunakan ungkapan 'Malaysia' bagi mana-mana aktivitinya; dan tidak boleh menganjurkan, menyertai atau menghantar peserta ke mana-mana pertandingan atau acara sukan dengan menunjukkan bahawa usahanya itu adalah untuk, atas nama atau bagi pihak, Malaysia atau mana-mana bahagian Malaysia dalam atau luar Malaysia.

"Bagaimanapun pembatalan persatuan-persatuan ini sedikit sebanyak memberikan kesan dan impak kepada pembangunan sukan serta atlet itu sendiri. Pembangunan sukan dapat dipertingkatkan dengan tadbir urus badan sukan yang cemerlang," katanya.

Pada masa sama, Ibrahim turut mengingatkan persatuan sukan sedia ada dan yang masih aktif supaya mengekalkan momentum tadbir urus badan sukan masing-masing.

Katanya, persatuan sukan diseru untuk mengikuti saluran media sosial Kementerian Belia dan Sukan dan PJS bagi mendapatkan maklumat yang terkini supaya persatuan sukan ini tidak ketinggalan dari segi informasi dan maklumat.

"Ikuti perlembagaan persatuan masing-masing, adakan mesyuarat agung tahunan dan menghantar laporan MYKB sepertimana ketetapan perlembagaan. PJS mengalu-alukan mana-mana persatuan yang menghadapi masalah untuk menghubungi mana-mana pegawai PJS, dan PJS sedia memberi kerjasama," katanya.