Sindiket edar dadah tumpas, heroin base RM4.05 juta dirampas

Sasikala Devi (dua dari kiri) menunjukkan antara ketulan dadah jenis heroin base yang dirampas menerusi serbuan pada Rabu.
Sasikala Devi (dua dari kiri) menunjukkan antara ketulan dadah jenis heroin base yang dirampas menerusi serbuan pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemandu bas kilang antara tiga individu diberkas dalam serbuan berasingan di sekitar negeri ini dan Kedah yang menemukan 123 ketulan dadah jenis heroin base bernilai RM4.05 juta untuk pasaran Lembah Klang pada Rabu lalu.

Sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak November tahun lalu itu ditumpaskan menerusi serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, ketiga-tiga suspek yang diberkas merupakan lelaki warga tempatan berumur lingkungan 37 sehingga 53 tahun.

"Serbuan pertama dijalankan di sekitar Klang menerusi tangkapan ke atas seorang lelaki yang dipercayai sedang menjalankan urusan pengedaran dadah.

"Pemeriksaan kereta jenis Mercedes Benz yang dinaiki suspek menemui satu plastik hitam mengandungi 10 ketulan mampat heroin base seberat 3.8 kilogram," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.

Katanya, hasil siasatan berdasarkan serbuan pertama seterusnya membawa kepada tangkapan suspek kedua kira-kira jam 4.20 petang di sebuah rumah di Kapar, Klang.

"Tangkapan suspek kedua kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Kapar, Klang yang berjaya menemukan satu plastik hitam mengandungi 113 ketulan heroin base seberat 42.5 kilogram di bahagian ruang tamu.

"Siasatan dijalankan berdasarkan serbuan dijalankan ini turut membawa kepada penangkapan suspek ketiga di sebuah rumah di kawasan Kupang, Kedah," katanya.

Antara ketulan dadah jenis heroin base yang dirampas.
Antara ketulan dadah jenis heroin base yang dirampas.

Menurutnya, seorang suspek bekerja sebagai pemandu bas kilang dan dua lagi suspek tidak bekerja.

"Semakan dijalankan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes di bawah penipuan dan dadah.

"Ujian saringan mendapati kesemua suspek negatif dadah," katanya.

Ujar Sasikala, kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Keseluruhan heroin dirampas ini dipercayai boleh dibekalkan kepada 2.51 juta penagih dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.2 gram.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.