90 penjawat awam ditahan SPRM Johor sejak 2020

Azmi (depan, kiri) melancarkan drama radio ‘Ringgit Ke Syurga?' di Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Johor pada Isnin.
Azmi (depan, kiri) melancarkan drama radio ‘Ringgit Ke Syurga?' di Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Johor pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor mendedahkan hampir separuh daripada kes-kes rasuah di negeri ini membabitkan penjawat awam.

Pengarahnya, Datuk Azmi Alias berkata berdasarkan tangkapan yang dibuat sejak 2020 sehingga Disember tahun lalu, sebanyak 219 tangkapan telah dibuat dan daripada jumlah itu seramai 90 orang merupakan penjawat awam.

Jelasnya, pekerja swasta seramai 75 orang manakala orang awam pula seramai 54 orang.

"Sejumlah 940 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa diterima SPRM Johor dalam tempoh yang sama.

"Daripada jumlah itu sebanyak 196 kertas siasatan telah dibuka dengan melibatkan 219 tangkapan dan 101 pertuduhan di mahkamah.

"SPRM Johor merekodkan jumlah sitaan sebanyak RM3.65 juta serta melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM213,831," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Drama Radio ‘Ringgit Ke Syurga?' di Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Johor di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Nor Ain Bakir dan Pengarah Penyiaran Johor, Ramlee Johari.

Menurut Azmi, SPRM Johor telah memberikan sebanyak 22 cadangan dan penambahbaikan kepada tujuh jabatan kerajaan di peringkat persekutuan mahupun negeri pada tahun lalu.

"Selain daripada menjalankan siasatan berkaitan kes-kes rasuah di negeri ini, SPRM Johor juga melaksanakan tindakan pencegahan rasuah dengan mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah membabitkan sektor awam dan swasta.

"Sepanjang tahun 2020 hingga Disember tahun lalu, sebanyak 286 ceramah telah diberikan kepada kesemua kumpulan sasar, selain daripada 131 program berteraskan pencegahan rasuah," katanya.