'Tak wajar berarak guna simbol keagamaan' - Mohd Na'im

Perarakan sekumpulan Pemuda Pas bersama replika senjata ketika Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 yang berlangsung pada 17 dan 18 Februari di Setiu mencetuskan pelbagai polemik di media sosial. Gambar kecil: Mohd Na'im
Perarakan sekumpulan Pemuda Pas bersama replika senjata ketika Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 yang berlangsung pada 17 dan 18 Februari di Setiu mencetuskan pelbagai polemik di media sosial. Gambar kecil: Mohd Na'im
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyifatkan tindakan berarak menggunakan simbol keagamaan Islam sebagai tidak wajar.

Mohd Na'im berkata, perarakan tersebut telah menimbulkan pelbagai persepsi dan kegelisahan masyarakat.

"Saya telah dimaklumkan tentang penganjuran sebuah program perhimpunan pemuda yang turut melibatkan perarakan menggunakan simbol keagamaan Islam.

"Pada hemat saya, tindakan berarak dengan kaedah tersebut adalah tidak wajar dan boleh memberikan gambaran tidak baik kepada agama Islam dan negara," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Media pada Ahad melaporkan, penganjur program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa susulan siasatan dibuat terhadap perarakan bersama replika pedang, lembing dan perisai berkenaan.

Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa berkata, walaupun kelihatan tidak logik untuk disiasat, namun pihaknya bersedia memberi kenyataan.

Mohd Na'im menambah, adalah lebih baik penganjur menonjolkan nilai-nilai Islam yang bersifat damai, mengajak kepada perpaduan dan kesejahteraan.

"Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk menyeru kepada keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Apa-apa tindakan yang boleh mengundang kegelisahan awam perlulah dielakkan sama sekali.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berpandangan perkara ini perlulah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta apa-apa tindakan yang berkaitan sekiranya penganjur telah menyalahi peraturan keselamatan negara," ujarnya.