Polis siasat perarakan Himpit 2023 bawa replika senjata

Laporan Sinar Harian pada Ahad. (Rohaimi)
Laporan Sinar Harian pada Ahad. (Rohaimi)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis sedang menyiasat tindakan peserta yang membawa replika berbentuk senjata ketika menyertai pertandingan perarakan sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 di Setiu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia berikutan gambar dan perkongsian yang tular di media sosial berhubung tindakan itu pada Ahad.

Jelas beliau, siasatan awal dijalankan mendapati perarakan bersama replika senjata tersebut berlaku dalam satu program yang diadakan di sebuah resort di daerah Setiu pada Jumaat.

"Perarakan itu adalah sebahagian daripada acara yang dipertandingkan pada program itu iaitu reka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam yang telah disertai oleh setiap daerah di Terengganu.

"Walaupun program itu dalam pengetahuan pihak polis, kita tidak dimaklumkan mengenai perarakan membawa replika senjata seperti itu.

"Tindakan membawa replika senjata oleh sebuah kontinjen dalam perarakan itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan kegusaran bagi sesetengah masyarakat, "katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas beliau, pihak polis akan meneliti sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang berhubung perkara terbabit.

"Kita akan menjalankan siasatan awal bagi mengenal pasti kesalahan-kesalahan yang dilakukan dalam program atau perarakan itu serta akan mengambil tindakan sewajarnya," jelasnya.

Perarakan sekumpulan Pemuda Pas bersama replika senjata ketika Himpit 2023 berlangsung pada 17 dan 18 Februari lalu mencetuskan pelbagai polemik di media sosial.