Filem Pulau: Kedah tidak ikut keputusan Terengganu

Kerajaan negeri Terengganu tidak menayangkan filem kontroversi, Pulau di semua pawagam di negeri berkenaan. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
Kerajaan negeri Terengganu tidak menayangkan filem kontroversi, Pulau di semua pawagam di negeri berkenaan. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah belum memutuskan untuk mengharamkan filem yang mencetuskan kontroversi, Pulau seperti yang dilakukan oleh Terengganu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu belum dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri setakat ini.

Menurutnya, perkara berkenaan perlu diteliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan, bukan sekadar mengikut keputusan negeri lain walaupun di bawah pentadbiran Pas.

“Kerajaan negeri belum ada perbincangan lagi mengenai perkara ini. Kemungkinan sebagai pihak yang ada kuasa dalam tayangan di pawagam, mereka ambil tindakan daripada sudut tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Kedah Cashless dan penyerahan hak milik tanah serta sumbangan wang ihsan daerah Kota Setar di sini pada Sabtu.

Pada 9 Februari lalu, TGV selaku pemamer menerima surat daripada Majlis Perbandaran Kemaman mengenai keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang melarang filem Pulau daripada ditayangkan di negeri itu.

Biarpun Terengganu hanya mempunyai tiga panggung, namun penerbit filem tersebut, Fred Chong melahirkan kebimbangan kerana tindakan tersebut boleh mempengaruhi keputusan negeri lain.

Gara-gara kontroversi trailer yang didakwa mengandungi ‘soft porn’ dan ditayangkan Januari lalu, penerbit dikatakan mengalami kerugian hampir RM500,000 apabila penaja menarik tajaan terhadap filem berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, perkara yang mencolok mata tersebar di pelbagai platform dan bukan hanya menerusi tayangan filem.

“Benda-benda macam itu, ada juga yang sampai dalam telefon bimbit kita, macam-macam. Esok tak kan pula nak haramkan telefon bimbit,” ujarnya.