'Saya bukan gila kuasa'

Hamidin ketika ditemubual secara eksklusif bersama Sukan Sinar di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Hamidin ketika ditemubual secara eksklusif bersama Sukan Sinar di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
A
A
A

“SAYA tidak pernah terbayang akan menduduki salah satu kerusi Ahli Majlis FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), mungkin ini sudah rezeki saya dan izin-Nya.”

Itu reaksi Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sejurus diajukan pertanyaan berkenaan pemilihannya sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027.

Hamidin berkata, pemilihannya itu dianggap sebagai satu tanggungjawab dan amanah besar dalam mengangkat martabat bola sepak Malaysia, ASEAN dan Asia ke peringkat lebih tinggi.

“Untuk berada sehingga peringkat ini (Ahli Majlis FIFA), banyak proses perlu dilalui. Saya bukan gila kuasa tetapi saya ada perancangan masa depan demi bola sepak Malaysia, ASEAN dan Asia.

“Terus terang saya tidak pernah terbayang menjadi Ahli Majlis FIFA. Kadang-kadang bangun daripada tidur, saya tertanya-tanya betulkah sekarang saya Ahli Majlis FIFA.

“Bukan nak kata saya minta, tetapi pelantikan ini juga mungkin terjadi dengan izin ALLAH SWT. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan.

“Saya mendapat sokongan penuh daripada 12 negara ASEAN termasuk Australia untuk bertanding sampai (wakil) China dan Korea Selatan pun tewas,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sukan Sinar baru-baru ini.

Untuk rekod, Hamidin adalah individu keempat daripada Malaysia yang berjaya memegang jawatan sebagai Ahli Majlis FIFA selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada penggal 2015-2019, Tan Sri Hamzah Abu Samah (1982-1990) dan Lim Kee Siong (1960).

Pada sesi pilihan bagi penggal baharu itu, Hamidin yang turut memegang portfolio sebagai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mendapat 30 undian, sekali gus membolehkan beliau mengisi salah satu daripada lima kerusi Ahli Majlis FIFA daripada tujuh calon bertanding.

“Saya tidak melihat pelantikan sebagai Ahli Majlis FIFA ini sebagai satu bebanan, sebaliknya ia lebih kepada saya untuk terus menaikkan imej bola sepak Malaysia, ASEAN dan Asia.

“Tetapi saya tidak boleh khayal dengan jawatan baharu ini, ia bukan sesuatu yang boleh dimegah-megahkan. Saya ada tanggungjawab yang perlu dilakukan sebaik dipilih Ahli Majlis FIFA.

“Fokus saya sekarang adalah bola sepak Malaysia dan kemudiannya ASEAN dan Asia. Saya sudah bersedia untuk bekerja lebih kuat demi bola sepak rantau ini,” ujarnya.