Samar kongsi derita beranak dalam penjara tahanan Zionis

Samar (dua dari kiri) dalam forum sempena Majlis Hi-Tea MyCARE Johor sempena Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 di sebuah hotel di Iskandar Puteri pada Jumaat.
Samar (dua dari kiri) dalam forum sempena Majlis Hi-Tea MyCARE Johor sempena Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 di sebuah hotel di Iskandar Puteri pada Jumaat.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang wanita Palestin, Samar Sbeih, 39, melahirkan anak sulung dalam penjara bawah tanah di Israel dengan kaki dan tangannya diikat pada 2005.

Menurutnya, itu antara kekejaman yang dilakukan tentera Zionis terhadap tahanan Palestin tanpa mengira lelaki mahupun wanita.

"Tentera zionis Rejim Israel itu terlalu zalim terhadap kami, sehingga tidak habis untuk kami ceritakan kezaliman mereka kepada dunia," ujarnya.

Dia yang berusia 23 tahun dengan usia kandungan sebulan ketika itu ditahan atas sebab yang tidak jelas iaitu aktif dalam aktiviti ketika di Universiti.

"Saya digelar ibu kepada tahanan paling muda kerana selepas melahirkan anak lelaki dan bayi saya turut ditahan bersama-sama di penjara bawah tanah berkenaan.

"Sepanjang ditahan semasa hamil, saya tidak diberi makanan berkhasiat sebagai ibu untuk janin yang membesar serta tidak diberikan vitamin dan folic asid.

"Malah perkara paling asas pun tidak diberikan. Makanan pun tidak diterima, seksaan bukan sahaja secara fizikal tetapi juga mental," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Hi-Tea MyCARE Johor sempena Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL)2023 di sebuah hotel pada Jumaat.

Samar (tengah) bersama ahli MyCARE selepas Majlis Hi-Tea MyCARE Johor sempena Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 di sebuah hotel di Iskandar Puteri pada Jumaat.
Samar (tengah) bersama ahli MyCARE selepas Majlis Hi-Tea MyCARE Johor sempena Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 di sebuah hotel di Iskandar Puteri pada Jumaat.

Samar, 39, berkongsi penderitaan tersebut dalam bahasa Arab dan diterjemahkan Ahli Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Nurhanis Abdul Halim.

Majlis itu sebagai simbolik solidariti warga Johor terhadap penderitaan tahanan rakyat Palestin yang hidup dikurung dalam penjara rejim berkenaan.

Bercerita lanjut, Samar yang kini merupakan aktivis kemanusiaan berkata, kekuatannya ketika dalam tahanan rejim Zionis adalah janji ALLAH SWT terhadap hambaNya yang sabar.

Katanya, walaupun fizikal dan mental mereka diseksa selama tiga tahun sebelum dibebaskan pada 2008, jiwa dan hatinya tetap utuh.

"Saya kuat kerana janji ALLAH SWT, saya percaya ALLAH SWT janjikan kemenangan kepada mereka yang sabar," ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu termasuk pasangan kembar lelaki dan perempuan berusia 13 dan 16 tahun.

Samar berkata, dia dan rakyat Palestin mahu tunjukkan kepada pihak Zionis bahawa penjara menjadi satu kekuatan bagi mereka dan tidak melemahkan semangat walaupun sedikit.

"Rakyat Palestin mempunyai ilmu dan pendidikan yang baik, kami tahu kami di pihak yang benar. Saya ditahan tanpa ada kesalahan dan tahu berada di pihak benar manakala Zionis berada dipihak yang batil yang akan kalah pada akhirnya," katanya.

Untuk rekod, rakyat Palestin telah mengalami kesengsaraan lebih 70 tahun malah jumlah nyawa terkorban sejak konflik bermula pada 1948 dianggarkan 115,000 orang.

Setakat April tahun lalu, seramai 4,450 warga Palestin dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis termasuk 160 kanak-kanak dan 32 wanita.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 545 banduan terbabit menerima hukuman penjara sepanjang hayat manakala 499 individu lagi sudah lebih 20 tahun dikurung dan dipenjarakan tanpa kesalahan yang jelas.

Sementara itu, lebih 2 juta penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal di Gaza, selain kemudahan asas seperti air, makanan,elektrik, perubatan di Gaza dan wilayah lain yang diduduki kerap disekat.