Diberi layanan istimewa bayar tip RM1,000

Seramai 104 wanita warga asing disyaki GRO ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada Sabtu. (Gambar dalam : Selempang pelbagai warna berbeza mengikut nilai bayaran yang diberikan kepada GRO.)
Seramai 104 wanita warga asing disyaki GRO ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada Sabtu. (Gambar dalam : Selempang pelbagai warna berbeza mengikut nilai bayaran yang diberikan kepada GRO.)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan empat tingkat di Jalan Sungai Besi, di sini yang menyajikan layanan gadis pelayan pelanggan (GRO) dengan bayaran tip RM1,000 digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Sabtu.

Wanita yang berpakaian mencolok mata itu akan menggoda pelanggan-pelanggan bagi mendapatkan tip.

Sinar Harian yang menyertai operasi terbabit mendapati terdapat lima warna selempang berbeza harga perlu dibayar sekiranya berminat mendapatkan layanan GRO terbabit.

Seorang pekerja premis yang enggan dikenali berkata, pelanggan boleh mendapatkan selempang berkenaan dengan harga sekitar RM100 hingga RM1,000 berbeza mengikut warna.

"RM100 untuk selempang warna merah jambu dan paling mahal adalah warna hijau iaitu RM1,000.

"Pelanggan perlu membuat bayaran di kaunter dan selempang akan dikalungkan pada wanita terbabit untuk layanan minum dan berhibur," katanya.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam dilaksanakan sepasukan pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur dibantu pasukan elit imigresen, Pasukan Taktikal Khas (Pastak).

Menurutnya, seramai 127 warga asing ditahan hasil pemeriksaan terhadap 254 individu.

Bilik karaoke mewah yang disediakan di sebuah pusat hiburan di ibu negara digempur imigresen pada Sabtu.
Bilik karaoke mewah yang disediakan di sebuah pusat hiburan di ibu negara digempur imigresen pada Sabtu.

"Daripada jumlah itu, 104 adalah wanita disyaki GRO terdiri daripada 85 warga Thailand, Vietnam (11), lima warga Laos dan tiga Indonesia.

"Turut ditahan 23 lelaki warga asing disyaki pekerja premis terbabit termasuk 11 warga Bangladesh, China (lapan), Thailand (tiga) dan seorang warga India," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas operasi di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, lapan pekerja warga tempatan serta seorang lelaki yang cuba memprovok pasukan operasi turut ditahan dalam serbuan terbabit.

Syamsul Badrin berkata, pihaknya mendapati pusat hiburan terbabit seolah-olah tutup dan tidak beroperasi namun sebaliknya menyediakan bilik karaoke dengan khidmat wanita asing.

Katanya, JIM telah menjumpai bilik rahsia selain ruang dinding dan laluan tangga yang banyak bertujuan untuk wanita asing terbabit menyorok dan melarikan diri.

"Mengenai selempang yang ditemui, berkemungkinan ia mempunyai 'nilai' tertentu yang perlu dibayar untuk mendapatkan khidmat layanan berhibur dan minum," ujarnya.

Tambahnya, semakan mendapati ada antara warga asing terbabit tidak memiliki pasport, datang sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial serta bekerja di lain sektor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63.