Ringgit teruskan penurunan tiga hari berturut-turut

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4310/4345 berbanding dolar AS daripada 4.4020/4060 ketika ditutup pada Khamis.
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4310/4345 berbanding dolar AS daripada 4.4020/4060 ketika ditutup pada Khamis.
A
A
A

RINGGIT meneruskan penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari ketiga berturut-turut pada Jumaat selepas satu lagi laporan inflasi AS yang mengatasi purata jangka masa panjang sekali gus mengesahkan kemungkinan laluan kadar faedah yang lebih tinggi untuk tempoh lebih panjang.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4310/4345 berbanding dolar AS daripada 4.4020/4060 ketika ditutup pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, dolar AS meraih permintaan memandangkan data inflasi yang terus tinggi dijangka mendorong pengetatan dasar monetari oleh Rizab Persekutuan AS berterusan.

"Berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang melebihi purata jangka masa panjang berbanding jangkaan dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) yang dikeluarkan pada Khamis mengesahkan ‘lebih tinggi untuk lebih lama’. Ini mengakibatkan pergerakan lemah bagi ringgit hari ini (Jumaat),’’ katanya kepada Bernama.

IHPR AS meningkat sebanyak 0.7 peratus pada Januari 2023, lebih tinggi daripada jangkaan 0.4 peratus, manakala angka tahunan turun kepada 6.0 peratus daripada 6.5 peratus.

Innes berkata, penjualan ringgit berlaku dalam tempoh yang panjang justeru, beberapa petunjuk pertumbuhan AS suram dan kebimbangan inflasi berkurangan diperlukan untuk sentimen berubah.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding pound British kepada 5.2919/2961 daripada 5.3075/3123 ketika ditutup pada Khamis dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.2864/2892 dari 3.2883/2915.

Walau bagaimanapun, ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3062/3093 daripada 3.2989/3024 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.7137/7174 daripada 4.7101/7144. - Bernama