Jurutera didakwa gubah wang haram, rasuah babit RM131,600

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan pengubahan wang haram, menerima suapan dan menipu membabitkan jumlah keseluruhan RM131,600.

Izwan Mashuri, 40, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob, Hakim Azura Alwi dan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut 11 pertuduhan, Izwan didakwa membabitkan diri secara langsung dalam pengubahan wang haram iaitu mengarahkan seorang lelaki untuk membuat pindahan wang berjumlah RM68,600 daripada akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik SBR Consultant ke akaun Malayan Banking Berhad milik seorang wanita.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (I) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan rasuah, Izwan didakwa menerima suapan wang berjumlah RM43,000 daripada seorang lelaki melalui pindahan wang daripada akaun CIMB Bank milik syarikat Normas Resources ke akaun Bank Islam milik syarikat SBR Consultant.

Ia sebagai upah kepada tertuduh yang mencadangkan pelantikan dua syarikat berkenaan milik lelaki itu sebagai subkontraktor kepada Pintas Utama Sdn Bhd bagi projek penyelenggaraan cerun melalui kontrak jangka masa panjang mulai 2017 di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.

Selain itu, ia turut melibatkan semua kerja pembaikan cerun yang merangkumi kerja awalan, reka bentuk dan pembaikan fizikal serta kerja-kerja pengumpulan data.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabitan.

Tertuduh juga didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdayanya untuk mempercayainya boleh mencadangkan syarikat Paradigm Jitu Enterprise untuk mendapatkan kerja-kerja perunding reka bentuk bagi projek penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri Semenanjung Malaysia kepada syarikat Pintas Utama.

Dia telah mendorong lelaki berkenaan untuk menyerahkan wang berjumlah RM20,000 ke dalam akaun Bank Islam Malaysia Berhad milik syarikat SBR Consultant, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Selayang, Off Jalan Ipoh, Batu Caves, di sini, antara 7 Februari hingga 2 Disember 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa dan Aznika Mohd Anas manakala Izwan diwakili peguam Nur Faida Mohd Rashidee.

Ketiga-tiga mahkamah menetapkan jaminan RM53,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 dan 21 Mac serta 6 April ini. - Bernama