Mahkamah perintah dua ahli NUBE kembali ke jawatan asal

J Solomon
J Solomon
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) berjaya memenangi kes berhubung pemecatan dua ahlinya,Sarimah Awang Senik dan Sethupaty Thiaganajan ke atas HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC).

Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, ia susulan Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur pada 2 Februari lalu memutuskan pemecatan ahlinya kerana mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan sekerja empat tahun lalu sebagai tindakan tidak sah.

Susulan itu, mahkamah memerintahkan Sethupaty yang juga kerani am dan Sarimah, jurubank perkhidmatan pelanggan di HSBC dikembalikan ke jawatan asal.

“NUBE menyambut baik keputusan Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur yang mengarahkan pengembalian semula kedua-duanya ke jawatan asal. Dengan rahmat yang Maha Kuasa, kami telah berjaya dalam perjuangan mencari keadilan.

“Keputusan ini memberi sinar harapan bagi kesatuan sekerja dan ahli-ahli mereka yang hak asasi kesatuan sekerja dipijak secara terang-terangan.

“NUBE mengucapkan terima kasih kepada setiap ahli yang telah menyokong dan mengambil bahagian dalam tindakan perindustrian anjuran NUBE. Kami berdiri teguh dalam ujian dan berani menentang kerana yakin bahawa keadilan akan ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sarimah dan Sethupaty masing-masing telah berkhidmat di HSBC sejak 1997 dan 1996 namun telah dipecat oleh HSBC Bank kerana mengambil bahagian dalam aktiviti kesatuan sekerja yang sah, menurut pertikaian perdagangan yang diisytiharkan terhadap HSBC Bank pada tahun 2019.

Kedua-dua Sethupaty dan Sarimah telah memfailkan tuntutan mereka berhubung pemecatan yang tidak adil pada tahun 2019 dan akhirnya menerima award mereka pada 2 Februari 2023.

Dalam keputusan mahkamah yang dikeluarkan pada 2 Februari lalu, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur, Rajeswari Karupiah telah membenarkan tuntutan kedua-duanya.

Ia berdasarkan alasan bahawa kenyataan meremehkan yang didakwa dibuat oleh Sethupaty dan Sarimah adalah sebahagian daripada pertikaian perusahaan dianjurkan oleh NUBE.

Mahkamah juga memerintahkan supaya kedua-dua ahli NUBE itu dikembalikan ke jawatan asal di bank dalam tempoh 30 hari daripada tarikh award diberikan.