Kedai makan 'ternak' lipas diarah tutup

Tempat penyediaan makanan dalam keadaan kotor dan menjijikkan ketika Operasi Penguatkuasaan Malam oleh DBKL pada Khamis.
Tempat penyediaan makanan dalam keadaan kotor dan menjijikkan ketika Operasi Penguatkuasaan Malam oleh DBKL pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat daripada 25 premis makanan yang diperiksa diarah tutup serta-merta selepas gagal mencapai tahap kebersihan ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL dalam satu kenyataan berkata, terdapat urungan lipas dan najis tikus ditemukan di salah salah premis yang diperiksa sekitar sekitar Jalan Kuchai Maju, Seputeh pada malam Khamis.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan turut mendapati terdapat premis tidak menjaga kebersihan dapur dengan membiarkan lantai dalam keadaan kotor serta berdaki hitam.

"Ada yang tidak memasang perangkap minyak dan ada juga perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik selain meletakkan bahan makanan secara terus dilantai.

"Selain itu didapati terdapat kedai beroperasi tanpa lesen, menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah serta pengendali makanan tidak mendapat suntikan tifoid atau kursus penyediaan makanan," ujarnya menerusi kenyataan Facebook pada Jumaat.

Kata kenyataan tersebut, sebanyak 42 notis kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) itu membabitkan 31 anggota terlibat.

Ujarnya, kedua-dua tindakan itu dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, UUK Pengendali Makanan 1979 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1976.

"DBKL akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengendali makanan mematuhi peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan," katanya.