Kes denggi di Selangor meningkat

Dari kiri, Dr Ummi Kalthom, Dr Siti Mariah dan Dr Sukhvinder pada sidang akhbar di Bangunan SUK pada Khamis.
Dari kiri, Dr Ummi Kalthom, Dr Siti Mariah dan Dr Sukhvinder pada sidang akhbar di Bangunan SUK pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor bakal berdepan peningkatan kes demam denggi mendadak pada tahun depan sekiranya langkah pencegahan awal dan kawalan tidak segera dilaksanakan.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan, peningkatan kes secara mendadak akan berlaku setiap empat ke lima tahun.

Jelasnya, jangkaan itu berdasarkan kitaran demam denggi di Malaysia bagi tempoh 20 tahun dan negeri ini merekodkan kes demam denggi yang tinggi pada 2019 iaitu sebanyak 72,543 kes.

Siti Mariah berkata, sehingga 11 Februari lalu atau minggu epid keenam (ME6/23), sebanyak 6,870 kes direkodkan dengan peningkatan sebanyak 141.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022.

"Sebanyak 510 lokaliti wabak denggi juga direkodkan dalam tempoh sama iaitu Petaling mencatatkan 203 lokaliti, Hulu Langat (120), Klang (82), Gombak (69), Hulu Selangor (24), Kuala Langat (10) serta masing-masing satu lokaliti di Kuala Selangor dan Sepang,

"Pada tahun lepas, kes demam denggi direkodkan adalah sebanyak 37,545 dan bayangkan peningkatan kes denggi ini jika ia tidak dikawal," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr Ummi Kalthom Shamsudin dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor JKNS, Dr Sukhvinder Singh Sandhu.

Dalam pada itu, Siti Mariah turut memaklumkan jumlah kematian tinggi turut direkodkan pada 2019 iaitu 56 kematian diikuti 37 kematian pada 2020; dua kematian pada 2021, 14 kematian pada 2022 dan dua kematian bagi tahun ini iaitu sehingga Januari lalu.

Sehubungan itu menurutnya, dalam usaha mengawal peningkatan kes demam denggi di Selangor pihaknya dengan kerjasama JKNS akan melaksanakan Operasi Bersepadu Denggi Selangor (OBDS) bermula Khamis hingga 22 Mac ini.

"Program ini akan memberi fokus kepada empat daerah mencatatkan kumulatif kes tertinggi iaitu Petaling, Hulu Langat, Klang dan Gombak dan program ini juga bertujuan bagi meningkatkan tahap kesedaran dan advokasi masyarakat setempat berhubung demam denggi," katanya.