Garis panduan STRA bakal jejaskan pendapatan

Mich (kiri) ketika memberi taklimat bersama media di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mich (kiri) ketika memberi taklimat bersama media di Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cadangan garis panduan kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap badan pengurusan bersama (JMB) tempatan melaksanakan had ketat terhadap aktiviti penginapan sewaan jangka pendek (STRA) bakal menjejaskan punca pendapatan ramai rakyat di Malaysia sekiranya digubal dan dikuatkuasakan pada tahun ini.

Ketua Dasar Awam untuk Airbnb di Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Mich Goh berkata, pihaknya menggesa kerajaan negeri untuk mempertimbangkan semula draf cadangan tersebut susulan ia dikhuatiri boleh menjejaskan proses pemulihan industri pelancongan dan ekonomi di negeri berkenaan.

"Selaras kembalinya kebenaran merentas negeri maka Pulau Pinang merupakan destinasi paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia di mana Georgetown menduduki tempat teratas bagi destinasi domestik yang paling banyak dicari di Airbnb pada tahun 2022.

"Dengan mengehadkan pelancongan di Pulau Pinang menerusi garis panduan yang dicadangkan boleh menjejaskan pemulihan perjalanan domestik dan antarabangsa selain memberi kesan pada pertumbuhan pekerjaan di Pulau Pinang dalam jangka panjang," katanya pada taklimat bersama media di sini pada Khamis.

Sebelum ini media melaporkan semasa dialog awam bersama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo pada 28 Julai 2022, Airbnb dan ahli-ahli komuniti hos Airbnb memberikan maklum balas mengenai cadangan-cadangan yang diusulkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan JMB dalam bidang aktiviti STRA.

Antara kebimbangan disuarakan adalah mengenai cadangan kerajaan negeri untuk JMB tempatan melaksanakan had ketat terhadap aktiviti STRA sehingga tiga malam seminggu dan 180 malam setahun selain menghalang STRA di bangunan strata komersial melainkan 75 peratus pemilik hadir dalam mesyuarat agung bagi mengundi untuk membenarkan STRA.

Dalam pada itu, Mich menjelaskan, sekiranya garis panduan yang dicadangkan itu diluluskan maka ia mampu menimbulkan sekatan berlebihan yang menyukarkan rakyat tempatan untuk berkongsi rumah mereka pada jangka masa panjang.

"Ini termasuk mengehadkan tempoh penginapan tetamu kepada maksimum tiga hari sahaja dan maksimum 180 hari setahun yang mana sesebuah kediaman boleh disewakan," ujarnya.

Beliau turut menyeru supaya terdapat garis panduan yang adil dan praktikal kerana ia adalah penting berikutan penginapan STRA yang terus mendapat permintaan.

"Tinjauan yang dijalankan oleh YouGov menunjukkan bahawa 43 peratus daripada pemilik rumah di Malaysia telah mempertimbangkan untuk menjadi hos di Airbnb bagi memanfaatkan sektor pelancongan yang semakin memulih.

"Data Airbnb terkini mendedahkan bahawa platform ini mempunyai sejuta 'Superhost' di seluruh dunia dengan purata penarafan keseluruhan sebanyak 4.8 atau lebih berdasarkan ulasan tetamu Airbnb sepanjang tahun lalu," ujarnya.

Tambah Mich, malah rakyat Malaysia memberi perkhidmatan dan menawarkan hospitaliti terbaik kepada tetamu Airbnb di mana lebih 13 peratus daripada semua hos ialah 'Superhost'.

Ujar Mich, menjadi hos telah membantu lebih ramai hos di Pulau Pinang dan seluruh dunia menyara kehidupan dan menjana pendapatan tambahan.

"Kami percaya bahawa sewaan jangka pendek perlu dikawal selia secara adil dan progresif untuk membolehkan rakyat Malaysia berkongsi rumah mereka tanpa sekatan berlebihan terutama menghadapi kenaikan kos sara hidup.

"Jadi kami menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk mempertimbangkan semula garis panduan yang dicadangkan selain menerima pakai pendekatan seimbang dan mudah ke arah mengawal selia STRA di negeri ini," jelasnya.

Justeru, Mich turut memberi cadangan sebagai usaha untuk menyokong pendekatan yang seimbang dan mudah bagi mengawal SAR termasuk meminta kerajaan membenarkan STRA secara 'default' (automatik) di semua bangunan strata dengan hak milik komersial.

"Kita turut mencadangkan bagi bangunan strata dengan hak milik kediaman maka penghuni seharusnya boleh terus menggunakan Akta Pengurusan Strata 2013 (SMA 2013) sedia ada dan membuat keputusan secara kolektif dengan undian 75 peratus melalui JMB atau perbadanan pengurusan mereka jika sebarang syarat serta sekatan berkenaan STRA perlu dilaksanakan," jelasnya.