Warga Bangladesh didakwa palsu dokumen perbaharui pasport

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Khamis.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memalsukan dokumen di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pekerja di sebuah syarikat pengurup wang didakwa di Mahkamah Majistret di sini di atas kesalahan memalsukan dokumen untuk memperbaharui pasport.

Tertuduh yang juga warga Bangladesh, Kazi Monir, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan tersebut yang dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Tertuduh yang tinggal di Malaysia sejak 16 tahun didakwa telah memalsukan 10 dokumen untuk tujuan permohonan pembaharuan pasport dengan pihak Bangladesh High Commission Kuala Lumpur antaranya laporan polis, resit Myeg Service Berhad dan invois cukai dan resit rasmi Jabatan Imigresen Malaysia.

Mengikut pertuduhan, Kazi didakwa telah memalsukan dokumen-dokumen tersebut dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan bagi tujuan hendak menipu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Usahaniaga, Bukit Mertajam pada jam 7.30 malam, 8 Februari lalu.

Oleh demikian, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tujuh tahun dan denda.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari, manakala tertuduh diwakili peguam V Pushpa.

Nor Shakila memohon mahkamah supaya tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang didakwa adalah serius.

V Pushpa dalam rayuannya memohon mahkamah agar memberi jaminan kepada anak guamnya berikutan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.

"Anak guam saya sudah berkahwin yang mana, isterinya yang berada di Bangladesh baru bersalin semalam.

"Anak guam saya juga mempunyai tanggungan lain iaitu ibunya yang berusia 60 tahun dan bapa, 65 tahun. Sebelum ini, anak guam saya bekerja sebagai tukang cuci, namun kini dia bekerja di sebuah syarikat pengurup wang dengan gaji bulanan RM2,200," katanya.

Mohd Harith kemudiannya menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan terhadap tertuduh.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri di balai polis terdekat dua minggu sekali.

Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Difahamkan, tertuduh didakwa telah melakukan kerja-kerja pemalsuan permohonan pembaharuan pasport sejak 31 Mei tahun lalu dengan mengambil upah antara RM180 sehingga RM200 setiap pelanggan.

Dikatakan, sebanyak 30 hingga 40 pelanggan telah berjaya dalam urusan pembaharuan pasport tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!