Tak patuh pengurusan kewangan, negara rugi RM158 juta

Nik Azman menunjukkan LKAN Siri 2 Tahun 2021 ketika sesi taklimat bersama media di Putrajaya pada Khamis.
Nik Azman menunjukkan LKAN Siri 2 Tahun 2021 ketika sesi taklimat bersama media di Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Semakan audit mendapati berlaku ketidakpatuhan terhadap pengurusan kewangan hingga menyebabkan kerugian dana awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran secara keseluruhan berjumlah RM158.08 juta.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid memaklumkan, jumlah tersebut melibatkan kerugian dana awam bernilai RM116.95 juta, manakala RM26.03 juta adalah pembayaran tidak teratur dan pembaziran RM15.10 juta.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2021, Nik Azman berkata, sebanyak tujuh topik berkaitan pematuhan audit telah dijalankan terhadap tiga kementerian dan empat Jabatan Persekutuan dengan jumlah semakan sebanyak RM1.127 bilion.

“Sebanyak 22 syor dikemukakan kepada kementerian dan agensi berkaitan untuk diambil tindakan dan pembetulan,” katanya ketika sesi taklimat kepada media mengenai LKAN pada Khamis.

Dalam pada itu Nik Azman memaklumkan, pengauditan prestasi yang dilaksanakan bertujuan untuk menilai sama ada aktiviti, projek atau program kerajaan telah dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan selain melihat sejauh mana objektif tercapai.

Selain itu katanya, ia bertujuan untuk menilai sejauh mana dana awam telah dibelanjakan tanpa berlaku pemborosan dan pembaziran.

Sementara itu, bagi Siri 2 LKAN berkenaan, sebanyak tujuh pengauditan prestasi bernilai RM66.862 bilion telah dilaksanakan melibatkan tujuh kementerian dan daripada jumlah itu, lima melibatkan program dan aktiviti manakala dua lagi kategori projek.

Nik Azman berkata, pelaksanaan aktiviti, projek dan aktiviti kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan mengikut objektif yang telah ditetapkan.

“Namun masih terdapat kelemahan seperti sasaran ‘output’ dan keberhasilan yang ditetapkan tidak tercapai sepenuhnya.

“Ini disebabkan wujud kecuaian dalam mematuhi peraturan atau prosedur yang ditetapkan kerajaan serta kurang teliti semasa merancang,” ujarnya.