Tujuh pengauditan RM66.862 bilion libatkan 7 kementerian

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak tujuh pengauditan prestasi bernilai RM66.862 bilion dilaksanakan melibatkan program, aktiviti dan projek di tujuh kementerian, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2.

Menurut LKAN, daripada jumlah pengauditan itu, lima daripadanya melibatkan kategori program dan aktiviti manakala dua lagi ialah kategori projek.

"Secara keseluruhannya, pelaksanaan aktiviti, projek dan program kerajaan Persekutuan telah dilaksanakan mengikut objektif yang ditetapkan. Bagaimanapun, masih terdapat kelemahan seperti sasaran output dan keberhasilan yang ditetapkan tidak tercapai sepenuhnya.

"Hal ini kerana wujud kecuaian dalam mematuhi peraturan atau prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan serta kurang teliti semasa merancang program, projek dan aktiviti,” menurut LKAN yang dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat pada Khamis.

Oleh itu, Ketua Audit Negara telah mengemukakan 21 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan, agensi Persekutuan yang diaudit.

Menurut LKAN, mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan, pengauditan pengurusan dilaksanakan berfokus terhadap pencapaian objektif penubuhan syarikat dengan meneliti tiga aspek iaitu pengurusan aktiviti, tadbir urus korporat dan kedudukan kewangan syarikat.

"Lima syarikat telah mencapai objektif penubuhannya manakala dua syarikat menunjukkan tahap pemakaian amalan tadbir urus korporat yang baik dan tiga syarikat mempunyai kedudukan kewangan yang stabil,” menurut laporan itu.

Dalam pada itu, Ketua Audit Negara telah mengemukakan 35 syor kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan untuk diambil tindakan bagi penambahbaikan perkara yang dilaporkan.

Mengenai auditan khas pengurusan hutan dan impak kepada alam sekitar, Jabatan Audit Negara telah menjalankan pengauditan melibatkan sembilan negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu yang bertujuan menilai sama ada hutan telah diuruskan mengikut prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

"Ini bagi memastikan aktiviti hutan dapat memberi faedah daripada aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar, serta mengimbangi pelbagai keperluan untuk kepentingan generasi kini dan akan datang,” menurut laporan itu.

Jabatan Audit Negara juga telah menjalankan pengauditan prestasi terhadap 14 aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri yang melibatkan dua kementerian di Sabah dan Sarawak, 31 jabatan dan lapan agensi kerajaan negeri.

"Pengauditan pematuhan turut dijalankan terhadap dua kementerian Sarawak, 25 jabatan dan 10 agensi kerajaan negeri,” menurut laporan itu.

Laporan itu memaklumkan 214 syor dikemukakan oleh Ketua Audit Negara melibatkan 184 syor untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian, jabatan, agensi negeri serta 30 syor oleh syarikat kerajaan negeri berkenaan.

"Semua Pegawai Pengawal, Ketua Jabatan, Ketua Pegawai Eksekutif yang berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan,” menurut laporan itu.

LKAN Tahun 2021 Siri 2 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan, LKAN Tahun 2021 mengenai Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan, dan LKAN Tahun 2021 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan akan dimuat naik dalam laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Rakyat hari ini.

LKAN peringkat negeri pula yang melibatkan 13 negeri hanya akan dimuat naik menerusi laman web Jabatan Audit Negara selepas pembentangannya di Dewan Undangan Negeri masing masing. - Bernama