Siasat semua nama didedah Pandora Papers

No Image Caption
A
A
A

LANGKAH Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas seorang bekas Menteri Kewangan berhubung penyimpanan harta di luar negara berjumlah ratusan bilion ringgit seperti didedahkan Pandora Papers wajar dipuji.

Pandora Papers ialah dokumen yang mendedahkan kekayaan disembunyikan di luar negeri, sindiket pengecualian cukai dan aktiviti mencuci duit dalam kalangan orang kaya serta berpengaruh di dunia.

Data tersebut diperoleh oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) di Washington DC yang telah bekerjasama dengan lebih 140 organisasi media, melibatkan 600 wartawan di 117 negara dan didedahkan pada 3 Oktober 2021.

Fail-fail tersebut mendedahkan bagaimana beberapa orang paling berkuasa di dunia termasuk lebih 330 ahli politik dari 90 negara menggunakan syarikat luar pesisir untuk menyembunyikan kekayaan mereka.

Penubuhan syarikat luar pesisir itu sering dikaitkan dengan kegiatan menyembunyikan harta yang diperoleh secara haram dan lubuk untuk mencuci duit, selain lari daripada membayar cukai di negara sendiri yang biasanya jauh lebih tinggi.

Untuk rekod, antara negara yang sering dijadikan ‘syurga’ untuk lari cukai oleh golongan kaya dan berpengaruh ialah Kepulauan Cayman serta Kepulauan Virgin Britain.

Bekas Menteri Kewangan berusia 80-an yang kini sedang disiasat oeh SPRM itu adalah antara 12 nama dari Malaysia termasuk empat ahli politik yang disebut dalam pendedahan Pandora Papers.

Selain bekas Menteri Kewangan itu, SPRM juga diharap dapat menyiasat semua nama rakyat Malaysia yang dinyatakan dalam Pandora Papers.

Ia bagi memastikan supaya tidak timbul tuduhan bahawa SPRM menjalankan penyiasatan terpilih atau hanya mengikut telunjuk pihak tertentu.

Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga diharap dapat menjalankan siasatan sama ada terdapat unsur lari daripada cukai dengan pembukaan syarikat luar pesisir berkenaan.

Tindakan membuka syarikat luar pesisir semata-mata mahu lari daripada cukai adalah satu perbuatan tidak patriotik kerana wang cukai amat diperlukan untuk pembangunan negara.

Mereka ini wajar dianggap sebagai pengkhianat negara yang telah menghisap 'darah' rakyat Malaysia demi untuk kepentingan peribadi.