Kerajaan disaran beri subsidi telur ayam secara bersasar

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya memberi subsidi telur ayam secara bersasar bagi meringankan beban rakyat terutamanya golongan B40.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, elaun telur secara top up perlu diwujudkan kepada golongan B40 untuk menanggung bebanan kewangan iaitu selisih harga RM0.09 (RM0.50-RM0.41) sebiji.

Beliau berkata, tidak mustahil untuk kerajaan melaksanakan inisiatif tersebut.

"Kerajaan harus mengutamakan penternak ayam tempatan, industri tempatan dan produk buatan Malaysia bagi membolehkan rantaian pembekalan makanan dan ekonomi domestik bergerak dengan sempurna.

“Daripada membeli daripada penternak negara asing, lebih baik beli daripada penternak tempatan,” jelasnya.

Ka Siong
Ka Siong

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya gabungan pemberian subsidi bersasar dan penetapan semula harga kawalan perlu dilaksanakan seperti serampang dua mata agar kembali merancakkan ekonomi domestik.

Tambahnya, Malaysia tidak perlu mengimport telur ayam dari luar negara kerana terdapat ratusan ladang ayam yang mampu menampung bahan komoditi itu.

“Kita dapat menjamin makanan dengan tidak menaikkan harga yang memberi manfaat kepada rakyat dan dalam masa sama dapat menghidupkan ekonomi domestik apabila penternak ayam tempatan mampu meneruskan perniagaan mereka.

“Apa guna kita import telur dari luar negara sedangkan negara sendiri boleh menghasilkan telur tempatan,” ulasnya melalui hantaran di Facebook pada Rabu.

Mengulas lanjut katanya, selain isu telur, produk seperti buah-buahan tempatan perlu diberi keutamaan agar dapat meningkatkan produktivitinya.

Menurut Ka Siong, produk makanan yang dihasilkan oleh Malaysia mempunyai potensi yang meluas di samping agensi kerajaan yang banyak membantu mempromosikan produk tempatan di mata dunia.

Jelasnya, para petani perlu dibantu agar mendapat galakan daripada pihak kerajaan supaya mereka lebih berjaya di masa akan datang.

“Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat sepanjang penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), yang antara lain banyak mempromosikan buah-buahan tempatan.

“Para petani atau pengusaha tanaman bagi buah-buahan tempatan ini juga perlu dibantu, bukan sahaja dari segi bantuan kewangan, tetapi juga menggalakkan pertanian moden dan menyediakan latihan yang dapat melahirkan generasi atau usahawan tempatan yang berjaya,” katanya.

Selain isu makanan, beliau turut menambah cadangan agar Malaysia melakukan perubahan dalam menghadapi cabaran ekonomi.

Di samping itu, beliau turut menggesa pihak Kementerian Kewangan melaksanakan langkah yang terbaik bagi meningkatkan ekonomi negara.

Tambahnya, kerajaan perlu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat untuk kehidupan yang lebih sejahtera.

“Malaysia memerlukan anjakan paradigma untuk mengharungi ketidaktentuan ini, lebih-lebih lagi di saat dunia menjangkakan kemelesetan yang mencabar pada tahun 2023 ini.

“Saya juga menyarankan kepada Kementerian Kewangan agar Bajet 2023 yang akan datang, adalah penting untuk melaksanakan langkah jangka pendek untuk memperkukuh pelaburan termasuk membabitkan syarikat swasta dan menyokong sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan,” katanya.

Jelasnya, kerajaan juga perlu membuka lebih banyak peluang pekerjaan sebagai inisiatif untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, seterusnya membuka peluang pekerjaan yang dapat membawa rakyat keluar daripada belenggu kesengsaraan.