PPPNP peruntuk RM2 juta bantu 342 pesawah

Mohd Zolkafly (dua dari kanan) menyampaikan tawaran pinjaman usahawan padi kepada Mohamad Fazli Mohtar sempena Majlis Penyerahan Dana Bantuan Infrastruktur dan Pembangunan Padi di pekarangan Stadium Indera Mulia pada Rabu.
Mohd Zolkafly (dua dari kanan) menyampaikan tawaran pinjaman usahawan padi kepada Mohamad Fazli Mohtar sempena Majlis Penyerahan Dana Bantuan Infrastruktur dan Pembangunan Padi di pekarangan Stadium Indera Mulia pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan RM2 juta bagi membantu 342 pesawah menerusi dana bantuan infrastruktur dan pembangunan padi.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, daripada pembiayaan itu, RM1 juta disalurkan bagi program pinjaman usahawan padi dan RM1 juta menaik taraf infrastruktur sawah padi di luar jelapang.

Menurutnya, inisiatif yang digerakkan bersama Jabatan Pertanian itu antara lain bagi membantu meningkatkan keberhasilan industri padi di negeri ini.

"Walaupun mereka menanam padi di luar jelapang padi, tetapi mereka juga penyumbang utama kepada keberhasilan makanan rakyat Perak.

"Kita amat menyokong (dana bantuan) ini apatah lagi mereka diberikan kemudahan yang bersesuaian dengan perkembangan teknologi.

"Ada yang diberikan dron untuk digunakan bagi kerja-kerja pembajaan dan racun. Ini dapat menjimatkan kos, masa dan dalam masa sama meningkatkan hasil kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Dana Bantuan Infrastruktur dan Pembangunan Padi di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi PPPNP, Mohd Kahar Mukktaruddin dan Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.

Bagi dana pinjaman, seramai sembilan pengusaha padi ditawarkan pinjaman berjumlah RM681,300 terdiri daripada pembelian dron, smart battery, mesin dan jentera.

Dana menaik taraf infrastruktur pula melibatkan 333 pesawah padi luar jelapang di daerah Perak Tengah dan Kuala Kangsar iaitu kerja pembinaan parit ladang, kerja- kerja perataan dan pengapuran dengan keluasan 846 hektar.

Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri sedang menyemak permohonan bantuan dikemukakan penternak, petani dan pihak-pihak lain berkaitan bidang sekuriti makanan.

"Ini memang menjadi salah satu teras yang digagaskan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030.

"Jadi menjadi tanggungjawab saya bersama agensi untuk menggembleng tenaga bagi menentukan semua produk makanan untuk rakyat di Perak cukup dan dalam masa sama mampu dieksport ke negeri lain," katanya.