MPM pergiat usaha tambah baik kemudahan, infrastruktur Sungai Muar

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal (lima, kanan) bergambar bersama para pemenang selepas menyempurnakan penyampaian hadiah sempena Kejohanan Perlumbaan Bot Laju F3000 Antarabangsa Muar di pesisir Sungai Muar Dataran Tanjung Emas hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal (lima, kanan) bergambar bersama para pemenang selepas menyempurnakan penyampaian hadiah sempena Kejohanan Perlumbaan Bot Laju F3000 Antarabangsa Muar di pesisir Sungai Muar Dataran Tanjung Emas hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Majlis Perbandaran Muar (MPM) akan mempergiat usaha menambah baik kemudahan serta infrastruktur termasuk pengindahan kawasan sekitar Sungai Muar untuk menarik lebih banyak penganjuran acara bertaraf antarabangsa bagi merancakkan lagi sosioekonomi setempat.

Yang Dipertua MPM, Mustaffa Kamal Shamsudin berkata, ini termasuk cadangan menaik taraf sungai berkenaan secara berfasa iaitu bagi fasa pertama membabitkan jarak sepanjang tiga kilometer dari perairan Tanjung Emas sehingga ke Tanjung Ketapang dan seterusnya menghala ke Jambatan Sultan Ismail.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan tersebut kepada Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal dan dimaklumkan kerajaan negeri turut bersetuju untuk mengusulkannya kepada kerajaan persekutuan bagi usaha menaik taraf sungai itu.

“Beliau (Dr Sahruddin) akan berbincang dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berhubung usaha tersebut kerana ia merupakan inisiatif kita untuk memperkasakan kawasan berkenaan yang menjadi aset utama warga daerah ini.

“Usaha ini mampu menyerlahkan keindahan Sungai Muar selain menjadi nilai tambah bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Perlumbaan Bot Laju F3000 Antarabangsa Muar 2019 sempena Karnival Jambatan Sultan Ismail di sini, hari ini.

Kejohanan yang disempurnakan Dr Sahruddin itu turut disertai pelumba dari dalam dan luar negara termasuk Brazil, Papua New Guinea, Brunei dan New Zealand.

Dalam pada itu, Mustaffa Kamal berkata, kira-kira 30,000 pengunjung hadir sepanjang tiga hari karnival itu berlangsung dengan pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya pertandingan bot berhias, pertandingan fotografi, persembahan artis dan kebudayaan.

Katanya, program memasuki edisi kelapan penganjuran sempena Hari Keputeraan Sultan Johor itu juga akan ditambah baik setiap tahun dengan mengadakannya dalam skala yang lebih besar pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Karnival ini juga sebahagian usaha kita untuk meningkatkan kesedaran orang ramai untuk lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai dan perairan di sini yang menjadi sumber penting kepada penduduk," katanya. - Bernama